suria

Suspek Curi Kereta Mati Ditembak Sewaku Cuba Serang Polis Dengan Parang

KUALA LUMPUR: Seorang dari dua suspek curi kenderaan, mati ditembak polis manakala rakannya meloloskan diri ketika mereka cuba melarikan diri dalam satu kejadian di Taman Desa Setapak di sini petang Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata suspek mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur.

Katanya, kedua-dua suspek telah mencuri sebuah kereta Proton Waja dua hari lepas. Bagaimanapun, pada jam 2 petang Rabu pemilik kereta itu terserempak dengan keretanya yang dinaiki dua suspek di hadapan sebuah pasar raya di Wangsa Maju dan menghubungi polis.

"Polis yang kemudiannya berjaya mengesan suspek telah mengarahkan mereka supaya berhenti dan keluar dari kenderaan tersebut.

"Seorang daripada suspek itu secara nekad telah keluar dari kereta dan terus menyerang anggota polis menggunakan parang dan anggota kami terpaksa melepaskan tembakan yang mengenai leher mangsa," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, menyedari rakan jenayahnya cedera parah, seorang lagi suspek kemudian cuba melanggar polis dengan kereta itu.

Polis sekali lagi melepaskan tembakan namun tidak mengenai suspek kedua itu dan suspek melarikan diri menggunakan kereta tersebut dan polis masih memburu suspek, katanya.

Ku berkata, polis menemui suspek pertama terbaring dengan sebilah parang di sisinya dan dia meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek yang mati adalah warganegara Bangladesh dan suspek yang meloloskan diri adalah warga tempatan dan polis percaya mereka telah terlibat dalam banyak kes curi kenderaan di sekitar Lembah Klang.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain