suria

Penagih Dadah Maut Setelah Terjatuh Dari Pangsapuri

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki disyaki penagih dadah ditemui mati di perkarangan sebuah pangsapuri di Taman Segar, Cheras, setelah dipercayai terjatuh dari tingkat enam bangunan itu, Isnin.

Mayat Guan Wai Yuan, 38 yang berasal dari Pandan Indah, Ampang, ditemui orang awam yang melalui kawasan tersebut pada kira-kira pukul 3.30 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner (ACP) Mohan Singh berkata berdasarkan maklumat awal, lelaki itu mempunyai tujuh rekod lampau berhubung dadah.

Mohan tidak menolak kemungkinan kejadian itu mempunyai kaitan dengan operasi polis kerana secara kebetulan pada waktu kejadian, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJN) Cheras sedang membuat operasi di sekitar kawasan tersebut.

"Mungkin lelaki itu hendak melarikan diri setelah mengetahui tentang operasi tersebut, tambahan lagi beliau mempunyai kes lampau berhubung dadah," katanya ketika dihubungi Bernama Isnin.

Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Dalam kejadian berasingan, Mohan berkata seorang wanita pengsan apabila terperangkap kira-kira 20 minit dalam tren komuter yang rosak berhampiran Stesen Salak Selatan dalam kejadian pukul 6.50 petang Isnin.

Beliau berkata tren yang dalam perjalanan dari Seremban itu mengalami kerosakan pintu menyebabkan hampir 400 penumpang terperangkap di dalam tren yang mempunyai tiga gerabak itu. "Anggota polis dan bomba yang datang 10 minit kemudiaannya berjaya membuka pintu tren dalam masa 10 minit dan wanita berumur 20-an itu tersedar selepas itu," katanya.

Pihak Keretapi Tanah Melayu (KTMB) telah menunda tren tersebut untuk diperbaiki, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain