suria

Faisal Halim melecur tahap 4, tulang dan otot terhakis! Ini penjelasan pakar perubatan

Keadaan kecederaan Faisal Halim yang tular di media sosial.

PERKEMBANGAN terkini tonggak utama Selangor FC, Faisal Halim mengejutkan peminat sukan tanah air apabila kecederaan di sekitar tubuhnya yang terkena simbahan asid disahkan melecur tahap empat.

Gambar tular memaparkan kecederaan Faisal dilihat tidak terlalu serius dan pada awalnya melecur tahap dua namun bertambah parah selepas diteliti oleh pegawai perubatan pada 6 Mei.

Menjelaskan mengenai situasi terkini pemain kebangsaan itu, pegawai perubatan di sebuah klinik kesihatan kerajaan, Dr Muhammad Aliff Md Zaki berkata, melecur tahap empat melibatkan tulang dan otot.

Ujarnya, hakisan daripada bahan kimia tersebut mengakibatkan bahagian yang terkena asid menjadi rentung dan hilang.

Gambar rajah tahap kecederaan lecur. -Foto Laman Web Farmasi Marmin

Gambarajah tahap kecederaan lecur. -Foto Laman Web Farmasi Marmin

"Asid ni bahaya, mungkin proses penghakisan masih berjalan sebab asal dari tahap dua kepada tahap empat atau selepas pembedahan dan cuci luka semalam baru nampak kecederaan yang sebenar.

"Sekarang Faisal Halim dimasukkan ke dalam ICU (Unit Rawatan Rapi) untuk pemantauan rapi dan menstabilkan dia. Cuma tak tahu area mana yang terlibat membabitkan kecederaan lecur tahap empat ni," jelasnya di laman TikTok.

Dalam pada itu, Dr Muhammad Aliff turut berkongsi punca-punca kebakaran yang mana kes membabitkan Faisal Halim adalah jenis bahan kimia iaitu asid.

Tambahnya, rawatan yang boleh dilakukan adalah termasuk menggantikan kulit yang telah melecur.

Bagaimanapun bagi kes pemain bola tersebut, ujar Dr Muhammad Aliff, terdapat tulang dan saraf yang terhakis sekali gus menyebabkan dia perlu menjalani beberapa kali pembedahan untuk membaiki kerosakan yang berlaku.

Malah dia turut menyatakan proses penyembuhan mengambil masa yang lama dan tidak menolak kemungkinan Faizal perlu bersara awal.

Dalam insiden di sebuah pusat beli-belah sekitar Petaling Jaya, Selangor, pada Ahad, Faisal atau Mickey disimbah asid oleh individu tidak dikenali hingga mengakibatkan kelecuran di beberapa bahagian badannya.

Kejadian itu berlaku hanya beberapa hari selepas seorang lagi pemain kebangsaan, Akhyar Rashid disamun dan kepalanya dihentak dengan kuat menggunakan cota dalam insiden di Terengganu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain