suria

Keputusan Peguam Saman Selcat 31 Mei

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 31 Mei depan untuk memberikan keputusan terhadap saman pemula yang difailkan seorang peguam, Datuk Mohd Hafarizam Harun terhadap Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Selangor (Selcat) atas dakwaan menghina Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Hakim Datuk Zaleha Yusof menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujahan yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak dalam prosiding yang dijalankan di dalam kamar pada Jumaat.

Pada prosiding itu, Mohd Hafarizam yang diwakili peguam Firoz Hussein Jamaluddin dan peguam Chang Kok Keong yang mewakili semua defendan, mengambil masa selama dua jam untuk berhujah.

Firoz Hussein semasa ditemui memberitahu, pihaknya menghujahkan bahawa saman yang diterima oleh anak guamnya untuk hadir ke Selcat adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Kami menghujahkan Perlembagaan Persekutuan mahupun Perlembagaan Negeri Selangor yang membenarkan saman itu dikeluarkan kepada plaintif. Justeru itu, saman tersebut dihujahkan adalah terbatal dan bersifat ultra vires (melampaui batasan undang-undang)," katanya.

Sementara itu, Chang memberitahu, beliau merujuk kepada Artikel 72, Perlembagaan Persekutuan, iaitu hak keistimewaan dewan yang tidak seharusnya dipertikaikan oleh mahkamah.

"Kami menghujahkan mahkamah dan dewan adalah dua kuasa istimewa yang berbeza dan boleh membuat undang-undang yang perlu dipatuhi oleh semua dan keduanya perlu saling menghormati." katanya.

Selain itu, Chang juga memberitahu beliau telah memaklumkan kepada hakim bahawa kehadirannya di mahkamah adalah dalam keadaan protes.

Dalam kes ini, Mohd Hafarizam yang digelar sebagai 'Peguam UMNO' oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memfailkan saman pemula itu pada 26 April lalu, menerusi firma guamanya, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak dengan menamakan tiga defendan termasuk DUN Selangor dan Selcat.

Turut dinamakan sebagai defendan adalah Setiausaha Selcat, Mohamad Yasid Bidin.

Mohd Hafarizam yang juga peguam kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah memohon deklarasi bahawa saman yang diterimanya bertarikh 12 April lalu untuk beliau menghadiri Selcat adalah terbatal dan tidak terpakai kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.

Beliau juga memohon deklarasi bahawa saman tersebut adalah ultra vires (melampaui batasan undang-undang) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959, Jadual Kuasa dan Kebebasan Dewan Undangan, Peraturan Tetap DUN Selangor dan Enakmen Penghinaan Dewan (Negeri Selangor) 2009.

Selain itu, Mohd Hafarizam juga memohon deklarasi bahawa beliau berhak untuk melaksanakan tanggungjawab dan peranan sebagai seorang peguam cara dan peguam bela Mahkamah Tinggi Malaya tanpa perasaan takut atau berat sebelah.

Beliau memohon surat tuntutan yang dikeluarkanya terhadap firma guaman Tommy Thomas yang mewakili Speaker DUN Selangor, Datuk Teng Chang Khim pada 29 Mac lalu berhubung satu kes mahkamah melibatkan Badrul Hisham tidak boleh dianggap sebagai satu penghinaan dewan.

Surat tuntutan itu dikeluarkan bagi menuntut kos RM40,000 daripada Teng selepas Mahkamah Tinggi di sini memutuskan bahawa Badrul Hisham kekal sebagai ADUN di kawasan yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum 2008.

Pada 1 April lalu, DUN Selangor meluluskan Usul No. 7, Tahun 2011 memutuskan bahawa Badrul Hisham dan Mohd Hafarizam dirujuk kepada Selcat atas tuduhan menghina dewan kerana menghantar surat kepada Teng dalam bahasa tidak senonoh, biadap dan mengugut.

Sekiranya gagal hadir, ia merupakan suatu kesalahan yang jika disabitkan boleh dihukum penjara selama setahun dan denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 4, Enakmen Penghinaan Dewan 2008.

Artikel Lain