suria

Mukhriz Minta Pemimpin Umno Bahagian Wujudkan Ruang Untuk Orang Muda

KULIM: Pemimpin Umno bahagian disaran membentuk satu pendekatan yang memberi lebih ruang kepada golongan muda untuk bersama-sama dalam proses transformasi parti khususnya di peringkat bahagian.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata langkah itu perlu bagi memastikan parti tersebut dilihat sebagai moden dan bergaya pada kalangan orang muda.

Malah katanya, ia juga disifatkan penting untuk meraih sokongan golongan muda terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN) pada masa akan datang.

"Dengan penolakan golongan muda pada pilihan raya umum lalu memerlukan kita melakukan sesuatu yang baru...maksudnya kita kena remajakan Umno," katanya berucap pada perasmian serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu, di sini Sabtu.

Beliau berkata Umno harus ambil pendekatan lebih menarik untuk memikat sokongan golongan belia dengan merangka program yang tidak dilihat sebagai parti untuk orang lama sahaja.

"Oleh sebab itu, program-program Umno haruslah sentiasa 'trendy' dan 'fashionable' di kalangan orang muda," katanya.

Mukhriz berkata pemimpin Umno di setiap sayap juga perlu mengambil peranan lebih ke depan dalam memperjuangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan orang muda sekarang.

"Antara isu penting yang harus ditangani melibatkan orang muda adalah soal pekerjaan, pemilikan rumah, pendidikan dan sara hidup. Isu sebegini amat menyentuh isi hati rakyat dan kita harus berusaha menyelesaikannya dengan baik bagi mengelakkan ia dimanupulasi pembangkang," katanya.

Pada majlis itu, Mukhriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri turut melancarkan Program Gelombang Merah bahagian berkenaan yang disaksikan hampir 1,000 anggota parti dan perwakilan tiga sayap tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain