suria

Nelayan Hilang: Mayat Ismail Ditemui Dengan Kesan Kelar, Hentakan

SHAH ALAM: Mayat nelayan, Ismail Rejab, yang dilaporkan hilang bersama empat lagi sejak 4 Mei, ditemui terapung di perairan Sungai Besar, Sabak Bernam dekat sini kira-kira pukul 7 pagi ini, dengan kesan kelar di leher dan hentakan di kepala.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Supritendan Noor Mushar Mohamad berkata, mayat Ismail ditemui kira-kira 30 kilometer dari jeti Kampung Bagan Sungai Besar, tempat bot yang dinaiki kesemua mangsa ditemui pada Ahad lepas.

"Mayat ditemui oleh anggota kita yang sedang menjalankan kerja mencari di sekitar kawasan perairan berhampiran lokasi kejadian. Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sabak Bernam untuk dibedah siasat kira-kira 11 pagi," katanya ketika dihubungi di sini. Beliau berkata identiti Ismail, 41, disahkan isterinya, Rosnani Mat Noor, 36.

Noor Mushar berkata polis masih menunggu laporan lengkap bedah siasat sebelum membuat keputusan terhadap kertas siasatan kes itu yang sebelum ini dibuat di bawah kes orang hilang.

Beliau berkata polis juga masih meneruskan siasatan dan gerakan mengesan tiga lelaki warganegara Indonesia yang dipercayai boleh membantu siasatan kes itu.

"Dalam pada itu gerakan mencari seorang lagi mangsa iaitu tekong yang dikenali sebagai Chia Yeow Chian, 41, masih diteruskan," katanya.

Noor Mushar juga mengesahkan kesan darah pada tilam yang ditemui terapung berhampiran kawasan jeti itu adalah darah manusia, namun sehingga kini tiada senjata ditemui.

Beliau sebelum ini dilapor berkata berdasarkan siasatan awal pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku pergaduhan di atas bot nelayan terbabit.

Kehilangan Chia dan Ismail serta tiga rakyat Indonesia terbabit yang turun ke laut sejak 4 Mei, dilaporkan pada Ahad lepas setelah bot yang mereka naiki ditemui di jeti berkenaan.

Kehilangan mereka menimbulkan misteri apabila beberapa kesan darah ditemui pada bahagian dalam bot tersebut.

Noor Mushar berkata polis masih menyiasat pihak yang membawa balik bot itu. - BERNAMA

Artikel Lain