suria

PRN Sarawak: BN Peroleh Majoriti 2/3

KUCHING: Barisan Nasional akan membentuk kerajaan baru Sarawak selepas memenangi majoriti dua pertiga kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya ke-10, Sabtu.

BN memenangi 55 kerusi, DAP 12, Parti Keadilan Rakyat (PKR) tiga dan Bebas satu kerusi daripada 71 kerusi yang dipertandingkan.

Snap, Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Parti Cinta Malaysia (PCM) gagal memperoleh sebarang kerusi.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, DUN Kakus menjadi pusat pengundian terakhir menghantar keputusan undian iaitu pada pukul 11.00 malam.

"Ia disebabkan beberapa masalah tertentu dan saya yakin kelemahan ini dapat diperbaiki pada masa akan datang," katanya pada sidang media di pejabat SPR di sini malam Sabtu.

Jelas beliau, jumlah peratusan keluar mengundi turut menepati sasaran SPR iaitu 70 peratus.

"Jumlah pengundi meningkat daripada 63 peratus pada 2006 kepada 70 peratus kali ini," katanya.

Menurutnya, pilihan raya negeri Sarawak Ke-10 antara yang terbaik setakat ini berdasarkan jumlah kehadiran pengundi, jumlah parti dan calon yang bertanding.

"Dari proses penamaan calon, berkempen dan ketika pengundi tiada sebarang insiden dilaporkan berlaku.Segalanya berjalan seperti dirancang," jelasnya.

Beliau turut berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian di seluruh negeri Sarawak.

Pada 2006, BN memenangi 63 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan.

Artikel Lain