suria

Lawatan Anifah Aman Perkukuh Hubungan Dengan Austria, Slovakia

KUALA LUMPUR: Lawatan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman ke Austria dan Slovakia baru-baru ini membantu memperkukuhkan hubungan serta kerjasama antara Malaysia dan kedua-dua negara Eropah itu, menurut kenyataan Kementerian Luar.

Kenyataan itu menyebut lawatan Anifah ke Vienna pada 19 Disember merupakan susulan kepada lawatan negara oleh Presiden Austria Dr Heinz Fischer ke Malaysia baru-baru ini.

Di Vienna, Anifah mengadakan perbincangan dengan Menteri Hal Ehwal Eropah dan Antarabangsa Austria Dr Michael Spindelegger mengenai Perikatan Ketamadunan, Pergerakan Global Kumpulan Sederhana, dan perwakilan Kesatuan Eropah (EU) dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Slovakia, Mikulas Dzurinda, di Bratislava pada 20 Disember, Anifah menyuarakan kegembiraan Malaysia atas sokongan Slovakia terhadap inisiatif Malaysia berhubung Pergerakan Global Kumpulan Sederhana yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap pada Perhimpunan Agung PBB September lepas.

Anifah turut mengiktiraf peranan aktif Slovakia dalam menggalakkan keamanan dan kestabilan di Barat Balkan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain