suria

Jumlah Mangsa Banjir Di Kedah Terus Berkurangan

ALOR SETAR: Keadaan banjir di Kedah pada Khamis semakin pulih dengan jumlah mangsa yang dipindahkan terus berkurangan petang ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Majlis Keselamatan Negara ketika dihubungi berkata sehingga pukul 5 petang tadi, seramai 5,103 mangsa daripada 1,333 keluarga masih berada di 16 pusat pemindahan di daerah Kota Setar dan Kubang Pasu.

Di Kota Setar, seramai 3,342 orang daripada 816 keluarga masih berada di lapan buah pusat pemindahan manakala di Kubang Pasu seramai 1,761 orang daripada 517 keluarga juga masih berada di lapan buah pusat pemindahan.

Pusat-pusat pemindahan di Kota Setar yang masih dibuka ialah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Kampung, Surau Kampung Tanjung Sri Hujung, SMK Alor Janggus, Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Nyonya, SK Kuala Kedah, SK Haji Abdul Saadun Guar Jawa, SMK Sri Pantai dan Tadika Alor Senjaya. Di Kubang Pasu, pusat pemindahan banjir yang masih dibuka ialah Dewan Orang Ramai Kodiang, SMK Megat Dewa, SK Tunjang, SMK Indera Putera, SK Kodiang, Surau Kampung Lahar Halban, SMK Permatang Bonglai dan SK Sri Muda. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain