suria

Facebook Berunsur Fitnah Guna Nama Pemuda Umno Tebrau

JOHOR BARU: Pemuda Umno Bahagian Tebrau hari ini membuat laporan polis berhubung perbuatan individu atau kumpulan yang mengendalikan satu akaun Facebook berunsur fitnah atas nama pergerakan itu.

Laporan itu dibuat oleh Naib Ketua Pemuda Umno Tebrau, Nor Azhar Abdul Hamid, di Balai Polis Taman Pelangi Indah, Ulu Tiram, di sini.

Ketua Pemuda Umno Tebrau, Syahrin Md Jamaluddin, berkata akaun menggunakan nama "Pemuda Tebrau" itu mencemar reputasi Pemuda Umno bahagian itu melalui tulisan dan komen yang menyentuh sensitiviti Umno, parti lain, individu dan isu tertentu.

"Kenyataan terbaru dalam akaun itu ialah pada pukul 4.57 pagi semalam yang mengatakan Pemuda Umno Bahagian Tebrau sedang bersiap bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya kecil Pekan berikutan kesihatan Perdana Menteri yang tidak memberangsangkan," katanya.

Syahrin berkata perbuatan itu adalah fitnah dan cubaan untuk memburukkan kepimpinan dan anggota Pemuda Umno Tebrau, dan merupakan satu penyamaran yang jelas kerana ia langsung tidak ada kena mengena dengan Pemuda Umno bahagian itu.

Beliau berharap individu atau kumpulan yang bertanggungjawab itu dapat dibawa ke muka pengadilan sekaligus dapat membersihkan nama baik Pemuda Umno Tebrau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain