suria

Enam Lelaki Ditahan Berhubung Kes Bunuh Di Kota Tinggi

JOHOR BAHARU: Polis menahan enam lelaki bagi membantu siasatan berhubung satu kes pembunuhan di Kota Tinggi pada 15 Oktober lalu, kata Ketua Polis Johor, DCP Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

Beliau berkata semua suspek yang berumur antara 23 dan 49 tahun itu ditahan di sekitar daerah ini minggu lalu hasil maklumat orang ramai.

Katanya hasil soal siasat, suspek membawa kepada penemuan sepucuk pistol jenis Walter bersama empat butir peluru di kawasan kebun sayur di Permas Jaya di sini, dipercayai digunakan dalam pembunuhan tersebut.

"Salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau iaitu terlibat dengan kes dadah di Kulaijaya pada 2003 dan dikehendaki bagi membantu siasatan kes rogol di Masai pada 2005.

"Dua daripada mereka sudah dibebaskan manakala yang lainnya direman sehingga Khamis ini," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Isnin.

Dalam kejadian 15 Oktober lepas, G.Tamil Silvam, 44, ditembak mati oleh seorang lelaki yang datang ke rumahnya pada kira-kira pukul 9.30 malam. - BERNAMA

Artikel Lain