suria

Dua Anggota Konvoi Motosikal Maut Dalam Kemalangan

PORT DICKSON: Dua anggota kumpulan konvoi motosikal maut selepas bergesel sesama sendiri di Kilometer 23, lebuh raya Seremban-Port Dickson, Ahad.

Mohd Azril Rosli, 21, mati di tempat kejadian manakala Mohd Ikhwan Shah Shahli, 18, mati ketika diberi rawatan kecemasan di Hospital Port Dickson.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Baljeet Singh berkata dalam kejadian pada pukul 4 pagi itu, motosikal yang ditunggang mereka bergesel menyebabkan mereka melanggar pembahagi jalan.

Tiga motosikal lain turut terjatuh tetapi penunggang hanya cedera ringan, katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, ibu Mohd Ikhwan iaitu Norhayati Yusof, 42, yang ditemui di hospital itu berkata Ikhwan menyertai konvoi untuk menghadiri majlis rumah terbuka di Melaka.

"Dia sudah bersiap awal, petang lagi sudah tidur untuk tidak mengantuk semasa menunggang," katanya.

Ikhwan merupakan anak sulung dari tiga beradik dan suka bergurau, katanya yang tiba di hospital itu selepas dimaklumkan anaknya dalam keadaan kritikal.

Ibu kepada Muhamad Azril pula iaitu, Khamsiah Mat, 42, berkata beliau tidak mengetahui anaknya menyertai konvoi itu.

"Kalau tidak dia beritahu tetapi tidak untuk kali ini. Mungkin dia sudah dapat merasakan perkara ini akan berlaku," katanya.

Semasa anaknya itu keluar dari rumah, beliau dan suami melawat seorang saudara mereka yang sedang sakit. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain