suria

Seorang Maut, 11 Cedera Kemalangan Di KM27 Jalan JB-Kota Tinggi

KOTA TINGGI: Seorang maut manakala 11 lagi cedera dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan lima kereta di kilometer 27 Jalan Johor Baharu-Kota Tinggi awal hari ini.

Kemalangan pada 12.55 pagi itu menyebabkan pekerja kilang, Izuan Neezam Ahmad, 24, mati di tempat kejadian akibat kecederaan serius di kepala.

Ketua polis Kota Tinggi Supritendan Osman Mohamed Sebot berkata mangsa bersama ayahnya Ahmad Ghani, 66, sedang menuju ke rumah mereka dekat Felda Bukit Aping Barat ketika kejadian.

Ayahnya hanya mengalami kecederaan ringan akibat kemalangan tersebut.

Mangsa dan mereka yang cedera dalam kemalangan itu di hantar ke Hospital Kota Tinggi.

Supritendan Osman berkata punca kemalangan masih disiasat.

Kemalangan tersebut menyebabkan kesesakan lalu lintas selama dua jam berikutan ribuan umat Islam melalui jalan itu untuk kembali ke kampung menyambut Hari Raya Aidilfitri esok. - BERNAMA

Artikel Lain