suria

Penjara 3 Tahun Balasan Rompak RM150

KUALA LUMPUR: Seorang mekanik kereta tergamak menyamun dompet seorang remaja selepas mangsa didakwa gagal menepati janji mahu membayar tambang bas sebanyak RM5.

Mohd Shukor Sharom, 33, yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini Khamis, berkata dia tidak mengetahui bahawa perbuatannya terhadap Zulhelmy Mohd Zubir, 17, adalah kesalahan jenayah.

"Saya sudah minta wang dari dia, tapi dia tak bagi. Dia sudah janji. Saya marah kerana terpaksa berjalan kaki dari Selayang," katanya yang telah keluar masuk penjara sebanyak enam kali bagi kesalahan dadah.

Tertuduh yang memberi akujanji tidak akan mengulangi kesalahan serupa terlebih dahulu mengaku salah menyamun wang tunai RM150 milik mangsa.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 10 malam, 6 September lalu di lorong bersebelahan Hotel Vistana, Jalan Lumut, di sini.

Dalam kejadian itu, mangsa yang dikepit di bahagian kepala oleh tertuduh, bertindak mengejar tertuduh yang melarikan diri ke Jalan Chow Kit, di sini sebelum berjaya ditangkap dengan bantuan orang awam.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Cif Inspektor Nompat Prakdit mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Ahmad Kamar Jamaludin memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama tiga tahun bermula dari tarikh tangkap dan menasihatkan tertuduh supaya berubah sikap.

"Kamu mempunyai kemahiran membaiki kereta. Kamu sepatutnya menggunakan kemahiran kamu untuk mencari kerja," katanya.

Artikel Lain