suria

Bekalan Air Ke Resort Pulau Perhentian Dipercepatkan

KUALA TERENGGANU: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air akan berunding dengan Syarikat Air Terengganu Sdn Berhad (SATU) bagi mempercepatkan bekalan air ke seluruh resort dan chalet di Pulau Perhentian Besar dan Perhentian Kecil.

Menteri berkenaan Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata projek bekalan air yang dimulakan pada 2006 melibatkan peruntukan RM18 juta, bagi fasa pertama untuk membekalkan air kepada penduduk di Pulau Perhentian Kecil sudah siap sepenuhnya.

"Bagaimanapun bagi fasa kedua untuk membekalkan air ke 42 resort dan chalet di kedua-dua buah pulau berkenaan masih lagi belum siap sepenuhnya dan dijangka siap sepenuhnya Februari tahun hadapan," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Chin sedang dalam rangka lawatan dua hari untuk meninjau dua projek iaitu bekalan air bersih dan elektrik di kedua-dua pulau berkenaan.

Beliau berkata sebenarnya paip dasar laut sudah sampai ke pulau berkenaan, namun ia belum disambungkan kepada resort dan chalet untuk pembekalan air.

"Saya rasa kita boleh bekalkan dulu kepada resort atau chalet berdekatan yang sudah sedia untuk disambungkan paipnya.

"Yang mana boleh buat dulu, kita bekalkan dulu kerana jika tunggu sehingga Februari tahun depan, ia sangat lambat dan kita bimbang pandangan pelancong terhadap perkhidmatan yang kita sediakan," katanya.

Sementara itu, bekalan elektrik di Pulau Perhentian Kecil dan Perhentian Besar yang menggunakan tiga kemudahan iaitu tenaga solar, kincir angin dan Diesel Generator Hibrid kendalian Tenaga Nasional Berhad (TNB) beroperasi dengan baik.

Bagaimanapun, katanya sistem kincir angin menghadapi sedikit masalah teknikal setelah kabel yang membawa bekalan elektrik ke kampung-kampung di pulau berkenaan disambar petir.

"TNB akan memperbaikinya dan kincir ingin itu dijangka siap pada September ini," katanya.

Chin berkata sistem solar dan kincir angin adalah satu cara yang baik bagi situasi di pulau-pulau kerana ia tidak menggunakan minyak dan secara tidak langsung ia tidak mencemarkan alam sekitar. - BERNAMA

Artikel Lain