suria

Lelaki Dikelar Di Leher Dalam Pergaduhan Mengenai Pokok Nangka

KUANTAN: Seorang pembantu restoran warga Myammar cedera dikelar di bahagian leher oleh seorang peniaga di Bukit Tinggi dekat Bentong, semalam, selepas kedua-dua mereka bergaduh disebabkan pokok nangka.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Asisten Supritendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 11.30 pagi semasa lelaki Myanmar yang berumur 21 tahun itu hendak menebang dahan pokok nangka di hadapan tempat kerja selepas diarah oleh majikannya.

Beliau berkata, seorang lelaki berusia 34 tahun yang merupakan pemilik gerai buah-buahan di sebelah restoran itu tiba-tiba muncul dan terus memaki hamun pembantu restoran itu.

"Kemudian berlaku sedikit pergelutan dan pemilik gerai buah-buahan itu mengelar bahagian leher pembantu restoran tersebut menggunakan sebilah parang," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Noor Asyikin berkata, lelaki Myanmar itu dibawa ke klinik berdekatan oleh majikannya, dan dia menerima tujuh jahitan, manakala pemilik gerai buah-buahan itu pula ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Katanya, pemilik restoran itu dipercayai hendak menebang dahan pokok itu yang menghalang pandangan orang ramai terhadap restorannya, manakala pemilik gerai buah-buahan itu pula mahu menggunakan dahan dan rimbunan pokok itu bagi melindungi gerainya daripada sinaran matahari. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain