suria

Kementerian Pertahanan Kaji Gred Gaji, Emolumen Anggota ATM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan akan membuat kajian semula bagi mengkaji gred gaji serta emolumen kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Timbalan Menterinya Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata biarpun ATM merupakan angkatan terkanan dalam kerajaan, namun gaji ATM berbanding perkhidmatan lain masih lagi rendah.

"Perkara 132 dalam Perlembagaan Persekutuan mengatakan ATM adalah angkatan terkanan lebih daripada polis dan perkhidmatan-perkhidmatan lain. Ia diperkukuh dan diperkuat dengan Pekeliling JPA (s) 256 (21) pada Disember 1971 bahawa relativiti gaji ATM berbanding perkhidmatan lain adalah yang paling kanan.

"Bagaimanapun evolusi telah berlaku, skim di perkhidmatan lain sudah berubah namun skim gaji tentera tidak banyak berubah," katanya semasa menggulung Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2009) 2010 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa menjadi Menteri Pertahanan sebelum ini turut memberikan amanat supaya isu gred gaji anggota ATM dikaji.

"Perkara ini ambil masa sedikit, apatah lagi dalam suasana ekonomi yang tidak berapa baik. Apabila semua kertas kerja siap serta ekonomi bagus, pasti Perdana Menteri dan kabinet akan setuju kaji semula emolumen dan segala kemudahan yang bakal dinikmati anggota ATM," katanya.

Beliau berkata bagi meletakkan anggota ATM setara dengan golongan profesional perkhidmatan yang lain, maka rancangan untuk mengkaji semula kelayakan masuk ke peringkat pegawai akan dikaji semula.

"Dalam rancangan kaji semula nanti, kita nak ubah sejajar dengan pemodenan aset-aset ATM. Kita nak ubah kalau nak naik pangkat, kemasukan mesti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Diploma.

"Sementara untuk pegawai mesti ada Ijazah Sarajana Muda dan dengan ini akan meletakkan ATM dalam kategori pegawai betul-betul dalam golongan profesional setara dengan golongan perkhidmatan yang lain," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain