suria

Lebih 103,000 Kunjungi Klinik 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Klinik 1Malaysia mendapat sambutan hebat daripada pelbagai kalangan rakyat apabila 103,072 menggunakan khidmatnya sejak klinik pertama dibuka pada 28 Disember lepas.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata jumlah itu dicatat sehingga minggu pertama Februari, dengan purata kedatangan pesakit setiap hari di antara 80 hingga 200 orang sehari di setiap klinik.

Klinik 1Malaysia, yang dilancar secara rasmi pada 7 Jan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kini mempunyai 50 klinik yang beroperasi di seluruh negara, katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat Klinik 1Malaysia Projek Perumahan Rakyat Desa Rejang, Setapak di sini pada Jumaat, Liow berkata kebanyakan pesakit yang ditemui berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberi di samping memudahkan mereka kerana tidak perlu menaiki kenderaan untuk mendapatkan rawatan.

Sejak mula beroperasi, Liow berkata hanya satu kes penyakit jantung dikesan, iaitu di Klinik 1Malaysia Jelutong, Pulau Pinang dan satu kes ibu mengandung pre-eclampsia di Klinik 1Malaysia Kerinchi.

Beliau berkata setakat ini tiada aduan bertulis yang diterima dan kementerian sentiasa membuat penilaian dan mengumpul data daripada masa ke semasa untuk mengetahui pandangan rakyat terhadap tahap perkhidmatan rawatan yang diberi. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain