suria

Kampung Baru Terima "Tinjauan Mesra" PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini meneruskan lagi budaya kerja "tinjauan mesra" apabila turun meninjau pembangunan persekitaran Kampung Baru, sebuah perkampungan tradisi Melayu di sini, hari ini.

Kampung Baru, yang kini berusia kira-kira 110 tahun dengan keluasan 90.2 hektar, mempunyai 35,000 penduduk meliputi tujuh buah kampung.

Program Najib seawal 9 pagi itu bermula dengan sesi taklimat oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dibuat secara tertutup di Menara DBKL sebelum tiba di "pintu gerbang" Kampung Baru di Jalan Raja Muda Musa kira-kira 40 minit kemudian, dengan diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan timbalannya Datuk M.Saravanan serta Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Fuad Ismail.

Ketibaan Najib disambut oleh pegawai-pegawai kerajaan, ahli politik serta ratusan penduduk Kampung Baru.

Sejurus kemudian, Najib dibawa bersarapan di Kedai Nasi Lemak Mak Wanjor, yang beroperasi sejak 47 tahun lepas dan merupakan antara kedai paling lama beroperasi di Kampung Baru.

Di situ, Najib dilihat berbual-bual dengan pelanggan-pelanggan yang sedang menjamu selera yang menyerlahkan sifat mesra beliau dengan rakyat biasa.

Pemilik kedai itu, Samsuddin Abdul Hamid, 65, anak kedua kepada Mak Wanjor berkata, beliau yang mewakili anggota keluarga lain merasa bangga kerana Perdana Menteri sudi menjamu selera di kedainya.

"Rasa seronok bila PM (Perdana Menteri) sudi datang dan gembira bila lihat PM sudi tambah dua kali...PM kata sambal nasi lemak tu sedap dan dia suka," katanya yang ditemui kemudian.

Kegembiraan tersebut turut dikongsi anaknya, Mohd Nazrin, 39, yang menyifatkan kehadiran Najib memberi makna besar buat keluarga mereka kerana setelah lebih 40 tahun berniaga, inilah kali pertama seorang Perdana Menteri datang ke kedai itu.

Ditanya apakah yang dikatakan Najib kepada beliau, Nazrin berkata, Perdana Menteri melahirkan rasa gembira atas layanan yang diberikan dan menyatakan beliau suka dengan hidangan yang disediakan terutama sambalnya.

Nazrin berkata sebagai tanda terharu apabila dimaklumkan yang Najib akan bersarapan di situ, mereka sekeluarga mengumpul seramai 30 orang di kalangan anggota keluarga Mak Wanjor bagi membantu melicinkan acara tersebut.

Selepas lebih 20 minit berada di kedai itu, Najib dan rombongannya berjalan sambil meninjau keadaan dan perubahan yang berlaku kepada Kampung Baru yang kini dihimpit oleh pembangunan pesat kawasan di sekelilingnya.

Dalam perjalanannya itu, Najib dilihat memberi perhatian kepada keadaan dua blok flet bangunan PKNS Kampung Baru yang kelihatan amat menyedihkan.

Flet setinggi 17 tingkat itu dilihat kusam dan selepas ditinjau Perdana Menteri dalam sidang akhbarnya menganggap keadaan flet itu amat menyedihkan dan perlu diberi nafas baru.

Berikutan itu, Najib mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk membaik pulih dua blok flet tersebut dan urusan baik pulih akan dilakukan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri secepat mungkin.

Dengan suhu yang semakin membahang, Perdana Menteri yang dalam keadaan bermandikan peluh dilihat mendahului anggota rombongan meneruskan tinjauan dengan beliau dilihat bergerak lebih pantas daripada anggota rombongan yang lain, yang antaranya kelihatan jauh lebih muda daripadanya.

Melihat kesungguhan itu, jelas apa yang digariskan beliau sejak memegang tampuk pemerintahan negara April tahun lepas iaitu merasai sendiri kehidupan masyarakat di akar umbi bukanlah omongan kosong.

Termasuk tinjauan kali ini, Najib telah melakukan tinjauan mesra dengan berjalan dan menemui orang ramai di Petaling Street, Pantai Dalam, Brickfields serta Bukit Sentosa di Rawang dan yang terakhir di Melaka, dua hari lepas.

Meneruskan tinjauan mesranya, Najib juga berkesempatan melihat pelan dan mendengar penerangan mengenai pembangunan bazar tiga tingkat Kampung Baru.

Rombongan Najib kemudiannya dilihat menuju ke Dewan Orang Ramai Kampung Paya, Kampung Baru di mana beliau diberikan penerangan, mendengar luahan serta berbincang dengan Anggota Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement Kg. Baharu (MAS) yang diadakan secara tertutup.

Daripada cakap-cakap tetamu yang hadir, perbincangan itu menjurus kepada permasalahan pembangunan di Kampung Baru.

Setelah selesai, Najib pada sidang medianya lantas mengumumkan cadangan konsep pembangunan semula Kampung Baru yang antara lain kerajaan akan memastikan penduduk serta pemilik tanah tidak perlu berpindah ke tempat lain.

"Di bawah kaedah pembangunan itu, yang akan dicadangkan untuk persetujuan pemilik tanah dan penduduk, kerajaan memberi jaminan akan melaksanakan pembangunan baru itu selepas mendapat persetujuan mereka," katanya yang diiringi tepukan gemuruh penduduk kampung yang hadir.

Daripada reaksi yang diberikan jelas sikap mesra dan rendah diri Perdana Menteri yang sanggup turun bersemuka dengan penduduk Kampung Baru telah sedikit-sebanyak berjaya melunturkan sikap kental penduduk di situ yang selama ini teguh mempertahankan kampung itu daripada menerima pembangunan.

Apa yang pasti "tinjauan mesra" selama hampir dua jam itu dilihat telah menghasilkan suatu perkembangan yang positif buat kedua-dua pihak, kerajaan dan penduduk. - BERNAMA

Artikel Lain