suria

Penganut Hindu, Pelancong Mula Banjiri Batu Caves

KUALA LUMPUR: Beratus-ratus penganut agama Hindu, pelancong asing dan para peniaga mula membanjiri Kuil Sri Subramaniyar Swami di Batu Caves, dua hari sebelum perayaan Thaipusam.

Ada di antara mereka, terutamanya kanak-kanak, membawa 'kavadi', 'pal kudam' (belanga susu) dan membotakkan kepala sebelum menaiki 272 anak tangga untuk membayar nazar lebih awal bagi mengelakkan kesesakan pada hari Thaipusam Sabtu ini.

Bagaimanapun, ada di antara mereka mengeluh kerana jejambat melintasi landasan keretapi yang mula digunakan buat pertama kali pada perayaan kali ini menyusahkan mereka.

K.Kavitha, 34, memberitahu dia membawa perarakan 'pal kudam' dua hari lebih awal bagi mengelakkan kesesakan pada hari Sabtu tetapi terpaksa mengambil masa lebih lama untuk menggunakan jejambat itu.

Seorang pelajar berusia 10 tahun, A. Sri Saravanan berkata, ini merupakan tahun kelima dia membawa 'kavadi', tetapi kali ini dia mengalami sakit kaki kerana terpaksa menggunakan jejambat yang tinggi itu untuk memasuki kuil.

Tinjauan mendapati, walaupun ramai yang mula memenuhi pekarangan kuil dan banyak gerai dibuka, keadaan adalah terkawal dengan banyak anggota polis yang berkawal.

Lebih 1.5 juta pengunjung dari dalam dan luar negara dijangka membanjiri Kuil Sri Subramaniyar Swami sempena sambutan Thaipusam.

Perarakan patung Dewa Murugan dari Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Tun H.S. Lee ke Batu Caves akan bermula pada pukul 12 tengah malam ini dan dijangka sampai di Batu Caves sekitar pukul 11 pagi Jumaat.

Pelancong asing dari England, Sarah Tomlinson, 25, dan Tom Fletcher, 26, ketika ditemui berkata, mereka mengunjungi tempat itu selepas membaca sebuah rencana dalam majalah tempatan mengenai perayaan tersebut.

"Kami sangat kagum melihat patung yang besar itu. Ini merupakan betul-betul satu persekitaran lain dan berbeza daripada adat dan tradisi kami," kata Tomlinson yang berasal dari Manchester dan berharap dapat kembali semula ke kuil itu Sabtu ini.

Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) pula membekalkan 18,000 liter air bagi menyediakan minuman 'Mooru' (diperbuat daripada yogurt) yang diberi percuma kepada para penganut yang datang ke perayaan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Pengganas Ditahan ISA

Artikel Lain