suria

Semua Lapisan Masyarakat Kutuk Tindakan Cemar Masjid

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak mengutuk tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab yang meletakkan kepala babi hutan di pintu masuk ke pekarangan dua masjid di Petaling Jaya pagi ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, beliau sangat kecewa kejadian seperti ini berlaku ke atas rumah ibadat dan meminta semua rakyat mengutuk tindakan dan perbuatan tersebut.

Sementara Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru rakyat jelata agar bertenang dan jangan membuat sebarang konklusi berhubung kejadian tersebut.

Katanya, hanya orang yang tidak siuman sahaja yang tergamak berbuat demikian.

"Saya telah mengarahkan pihak berkuasa segera menyiasat dan mencari siapa yang bertanggungjawab berbuat demikian," ujar beliau lagi.

Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menyifatkan perbuatan tersebut sebagai keji dan tidak bermoral.

Koh yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, perbuatan tersebut bercanggah dengan semangat keharmonian agama serta perasaan saling hormat-menghormati yang diamalkan oleh masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

"Saya percaya perbuatan sebegini tidak mencerminkan budaya dan akhlak baik rakyat Malaysia secara menyeluruh tetapi hanya (dilakukan oleh) segelintir (manusia) yang ingin menggugat keharmonian dan perpaduan bagi memenuhi agenda peribadi mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Koh yang bertanggungjawab mengenai Hal Ehwal Perpaduan dan Pengurusan Prestasi berharap polis dan pihak berkuasa yang relevan dapat mempercepatkan siasatan terhadap kes itu.

Beliau juga menasihatkan orang ramai agar bertenang dan tidak melakukan tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan.

Di Putrajaya, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, kejadian itu amat dikesali selepas penangkapan beberapa suspek untuk membantu dalam penyiasatan serangan terhadap rumah-rumah ibadat.

Katanya, semua agama mengajar nilai-nilai persefahaman dan keamanan dan beliau menggesa semua rakyat Malaysia terus bertenang.

"Kita perlu meneruskan usaha untuk membentuk persefahaman dan menghormati sesama berlainan kepercayaan dan tidak membenarkan sebarang tindakan oleh sebilangan yang cuma (ingin) mewujudkan rasa tidak puas hati dan membangkitkan permusuhan sesama kita," katanya.

Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu mencadangkan supaya polis membentuk sebuah pasukan khas untuk mengenal pasti dalang terbabit.

"Perlu ada siasatan yang menyeluruh oleh pihak polis untuk mengenal pasti dalang di sebalik serangan dan motif mereka, katanya.

Beliau turut meminta orang ramai agar mengelak daripada mendengar khabar angin dan mendapatkan maklumat yang tepat daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai.

Di Shah Alam, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggesa polis untuk meningkatkan pemeriksaan di rumah-rumah ibadat dan berharap penduduk sekitar di kawasan masjid yang terjejas supaya bertenang kerana sebarang tindakan atau kenyataan negatif hanya akan memburukkan keadaan.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin mencadangkan agar sistem rondaan di setiap rumah ibadat dijalankan supaya tindakan itu tidak berulang lagi.

Beliau turut menggesa masyarakat berbilang bangsa dan agama agar bersatu padu dalam menangani isu ini dan memberi peluang kepada polis untuk menjalankan siasatan terperinci.

"Kami (Pemuda BN) menyeru kepada semua pihak terutamanya golongan muda agar bertenang dan tidak masuk campur dalam hal ini dan berharap jangan ada mana-mana pihak membuat andaian sendiri kerana ia boleh merebak menjadi perkara yang tidak diingini," katanya ketika membuat tinjauan di Masjid Jumhuriyah di Taman Datuk Haron, Petaling Jaya hari ini.

Pada perkembangan yang berkaitan, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua menyeru seluruh lapisan masyarakat supaya mengutuk perbuatan itu dan menasihati supaya semua pihak tidak terperangkap dengan permainan untuk mencetuskan ketidakpuasan di kalangan rakyat menerusi kebencian.

"Ia amat jelas sekali satu tindakan untuk mencetuskan kebencian perkauman di kalangan rakyat dan kami menyeru kepada kerajaan supaya memanggil semua parti politik, NGO dan juga badan-badan keagamaan supaya duduk semeja berbincang mengenai situasi ini dan bersatu dalam satu suara mengutuk kejadian seperti ini," ujarnya dalam nada yang sangat tegas.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

19 GRO Ditahan Dalam Ops Noda

Artikel Lain