suria

Polis Jejak Bayi Yang Dijual

KUALA LUMPUR: Polis sedang menjejaki bayi-bayi yang telah dijual termasuk ibu bayi berkenaan dan pembelinya dalam usaha menghapuskan sindiket penjualan bayi di sekitar Selangor.

Tindakan itu adalah susulan daripada kejayaan polis menumpaskan sindiket penjualan bayi yang beroperasi di negeri itu apabila seramai 13 orang ditahan manakala lima bayi serta seorang kanak-kanak perempuan berjaya diselamatkan dalam dua serbuan berasingan di negeri itu baru-baru ini.

Serbuan yang dilakukan di Banting dan Klang pada 4 dan 11 Dis lepas berjaya menemui lima bayi termasuk seorang bayi orang asli.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Hasnan Hassan ketika dihubungi berkata, lanjutan daripada penemuan bayi itu, usaha mengesan bayi yang telah dijual termasuk ibu bayi dan pembeli kini diperluaskan ke merata tempat termasuk klinik dan hospital di Selangor.

"Setakat ini kami sedang melakukan siasatan terperinci terhadap bayibayi yang telah dijual dan kami percaya kebanyakan bayi telah pun berada di tangan pembeli iaitu golongan yang tidak mempunyai anak," katanya.

Beliau berkata, polis memerlukan masa untuk menyiasat kegiatan sindiket yang telah beroperasi lima tahun itu kerana ia melibatkan ramai pembeli.

Katanya, pihak polis juga tidak menolak kemungkinan terdapat wanita tempatan yang terlibat dalam sindiket terbabit kerana mencari keuntungan wang ringgit sematamata.

Ini ekoran sendiket terbabit menjual bayi berkenaan di pasaran gelap dengan harga antara RM10,000 hingga RM15,000 bergantung kepada kulit, jantina dan keadaan bayi itu.

Sementara itu Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia Datuk Mohd Sani Mistam (JHEOA) berkata kes terbabit adalah pertama kali berlaku membabitkan wanita dan anak orang asli.

"Sebelum ini kita tidak pernah terima laporan berhubung pembabitan wanita orang asli dalam kes penjualan bayi," ujarnya.

Beliau berkata susulan daripada itu, pihaknya akan turun padang bagi melakukan pemantauan dari semasa ke semasa untuk mengekang perkara itu dari terus berlaku.

"Bagaimanapun dalam tempoh terdekat ini saya akan arahkan pegawai saya untuk turun padang melakukan pemantauan..kita tidak mahu ada lagi gejala seumpama ini berkait dengan orang asli," tambahnya.

Katanya lago, dari segi perundangan wanita Orang Asli tidak dibenarkan untuk menyerahkan anak yang dilahirkan kepada mana-mana pihak tanpa kebenaran.

"Serahkan anak kepada individu lain untuk dijadikan anak angkat tanpa kebenaran ketua pengarah JHEOA juga adalah melanggari prosedur dan undangundang orang asli itu sendiri," tegasnya.

Sementara itu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam satu kenyataan meminta kerajaan mengesahkan Protokol Pilihan berkaitan Konvensyen Hak KanakKanak mengenai penjualan kanakkanak, pelacuran dan pornografi kanak-kanak supaya negara ini dapat mengambil langkah yang lebih tegas terhadap semua bentuk eksploitasi dan penderaan golongan itu termasuk penjualan bayi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain