suria

Polis tahan dua lelaki dan tiga wanita, tumpas kegiatan judi haram

PULAU PINANG: Polis menumpaskan satu sindiket perjudian yang membabitkan wang pertaruhan menjangkau sehingga kirakira RM200,000 sebulan dengan tertangkapnya dua lelaki dan tiga wanita di Lintang Paya Terubong di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Azam Abdul Hamid berkata kesemua mereka yang berumur antara 30 dan 40 tahun itu ditahan pada kira-kira pukul 6 petang hasil maklumat awam dan risikan sejak sebulan lepas.

"Mereka ditahan ketika sedang sibuk menerima dan menguruskan pertaruhan nombor ekor haram," katanya pada satu persidangan akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata polis turut merampas sebuah komputer riba, empat mesin faksimili, tujuh telefon bimbit, 119 kertas tertulis angkaangka catitan perjudian dan pelbagai barang lain yang dipercayai digunakan untuk tujuan judi ekor haram.

Beliau berkata kumpulan itu dipercayai menjalankan aktiviti perjudian sejak setahun lepas dan sering berpindah bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan oleh pihak polis.

"Kesemua mereka direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih RM200,000 atau penjara tidak lebih lima tahun," katanya. BERNAMA

Artikel Lain