suria

Kes Dr Hamimah terima hasil kegiatan wang haram dibicara semula

KUALA LUMPUR: Setelah lima tahun perbicaraan berlangsung dan 45 orang saksi telah dipanggil, kes yang melibatkan seorang doktor yang didakwa menerima wang hasil kegiatan pengubahan wang haram berjumlah RM41.33 juta terpaksa dibicarakan semula.

Hakim Mahkamah Sesyen S.M Komathy Suppiah membuat keputusan itu berikutan Hakim Akhtar Tahir yang sebelum ini mendengar kes melibatkan Dr Hamimah Idruss, 59, itu bertukar ke Mahkamah Tinggi.

Kes itu ditetapkan didengar semula bermula 27 Mei ini.

Kes yang mendapat liputan meluas pihak media pada awal 2004 itu turut melibatkan beberapa saksi dari luar negara dan Dr Hamimah merupakan orang pertama didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001.

Dr Hamimah menghadapi lapan tuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM41.33 juta pada April 2003 dan didakwa mengikut akta itu yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun.

Dia turut didakwa atas 10 tuduhan bersubahat melakukan pemalsuan dokumen membabitkan wang berjumlah AS$12 juta (RM45.6 juta).

Sementara itu di Mahkamah Tinggi, Pesuruhjaya Kehakiman Zainal Azman Ab Aziz menolak permohonan Dr Hamimah untuk memindahkan wangnya berjumlah RM32.6 juta yang disita pihak polis ke satu akaun atas nama pentadbir mahkamah Kuala Lumpur.

Zainal Azman membuat keputusan itu dengan mengetepikan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen sebelum ini setelah mendapati kes itu adalah spesifik.

"Kes ini adalah kes yang spesifik dan tertuduh telah dituduh di bawah Akta Pengubahan Wang Haram yang merupakan akta spesifik. Hakim Mahkamah Sesyen telah tersilap dalam membuat keputusannya kerana mahkamah terikat dengan Seksyen 50(1) Akta Pengubahan Wang Haram," katanya. BERNAMA

Artikel Lain