suria

Sidang tergempar DUN Perak bawah pokok tidak bertamadun - pemimpin Umno

KUALA LUMPUR Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said hari ini berkata, tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V. Sivakumar dan 27 anggota dewan yang terdiri daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS menghadiri persidangan dewan di bawah pokok adalah satu tindakan yang tidak bertamadun.

"Ia juga merupakan satu penghinaan kepada Sultan Perak (Sultan Azlan Shah).

"Apa yang pembangkang buat ialah melaksanakan undang-undang rimba," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama di sini hari ini.

Azalina berkata, tidak pernah dalam sejarah negara ini persidangan dewan undangan negeri diadakan di bawah pokok, dan perkara itu menandakan parti gabungan DAP-PKR-PAS tidak menghormati status dewan sebagai sebuah institusi yang mulia.

"Mereka telah tunjukkan belang mereka, sanggup menghalalkan apa saja asalkan dapat memerintah," katanya.

Persidangan pada 10.20 pagi itu adalah bagi meluluskan tiga usul selain mengesahkan keputusan Sivakumar melarang Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota Exco kerajaan negeri daripada menghadiri persidangan dewan.

Usul-usul lain ialah menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar dan membubarkan Dewan bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Persidangan itu ditangguhkan 25 minit kemudian setelah ketigatiga usul itu diluluskan.

Di MELAKA, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata persidangan DUN di bawah pokok adalah satu penghinaan kepada sistem demokrasi serta tidak menghormati perlembagaan negara dan negeri.

Beliau yang yakin ia merupakan gimik politik pakatan pembangkang berkata rakyat Perak tidak perlu panik dengan strategi pembangkang itu kerana Zambry adalah Menteri Besar Perak yang sah.

"Apa yang dilakukan berbentuk politik, tidak memberi kesan kepada Menteri Besar dan Exco yang sah dan mereka (pembangkang) jelas tidak menghormati demokrasi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah projek Arab City di Pulau Melaka di Melaka.

Katanya, tiga usul yang diluluskan pada persidangan tergempar itu adalah tidak sah kerana persidangan itu sendiri sudah tidak sah.

Mohd Ali berkata, oleh kerana isu persidangan tergempar dan pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar telah dibawa ke mahkamah, maka biarlah mahkamah memutuskan.

Artikel Lain