suria

PAS Selangor: Hukum jika Elizabeth laku kesalahan moral

PETALING JAYA: PAS Selangor mahu Exco Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong dikenakan tindakan bersesuaian jika siasatan mendapati ada kesalahan moral pada wakil rakyat berkenaan.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali berkata, pihaknya berpendapat tindakan yang bersesuaian perlu dilakukan terhadap beliau demi menjaga integriti dan nama baik Pakatan Rakyat dan kerajaan Selangor.

"PAS Selangor berpendapat bahawa seorang pemimpin perlu memiliki akhlak dan keperibadian yang baik sehingga boleh menjadi contoh dan ikutan kepada rakyat jelata.

"Oleh yang demikian, PAS Selangor menyeru kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen PAS khasnya dan Pakatan Rakyat amnya untuk sentiasa menjaga akhlak dan tingkah laku mereka dengan baik agar dapat menghindarkan diri dari krisis moral yang boleh mengancam kestabilan Pakatan Rakyat di Selangor," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, mempengerusikan mesyuarat khas PAS Selangor berhubung isu gambar bogel Wong di Shah Alam.

Mesyuatat itu diadakan kira-kira tiga jam selepas Wong mengadakan sidang media di Ibu Pejabat PKR dekat sini sambil mengumumkan hasrat untuk meletakkan kedua-dua jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan.

Wong merupakan Ketua Penerangan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Hassan berkata, PAS Selangor menyedari bahawa Pakatan Rakyat terdiri daripada parti PAS, PKR dan DAP tidak pernah disenangi oleh Umno dan BN.

"Pihak Umno dan BN sentiasa berusaha untuk merampas semula semua negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat dengan apa cara sekalipun seperti mana yang berlaku di Perak baru-baru ini.

"PAS Selangor juga menyedari bahawa semua anggota Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat sentiasa menjadi perhatian umum dan sasaran musuh.

"Sedikit kesilapan pasti akan digunakan oleh pihak musuh untuk menjatuhkan mereka," katanya.

Berkaitan dengan isu gambar bogel Wong, kata beliau, PAS Selangor mengutuk penyebaran gambar-gambar tersebut kerana ia satu perbuatan jenayah yang perlu dikenakan tindakan.

"PAS Selangor mengalu-alukan tindakan pihak polis untuk menjalankan siasatan rapi dengan penuh amanah dan tanggungjawab dengan kadar yang segera.

"Sesiapa sahaja yang didapati bersalah perlu dihadapkan ke muka pengadilan," katanya lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain