suria

MP BN keluar kenyataan seksis mungkin tidak dicalon semula dalam pilihan raya umum

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz memberi ingatan kepada Anggota Parlimen (MP) Barisan Nasional (BN) yang suka mengeluarkan kenyataan berbaur seksis di dalam Dewan Rakyat bahawa mereka mungkin tidak dicalon semula untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Kerajaan memandang serius perkara ini dan tindakan tegas diperlukan untuk mengelak ia daripada berulang.

"Ini berupa peringatan tegas untuk mereka. Kalau tetap lakukan juga, masa depan mereka sebagai MP mungkin tergugat. Baik kita korbankan mereka daripada kalah," katanya kepada pemberita selepas menerima memorandum daripada Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun berhubungan kenyataan berbaur seksis oleh MP dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) di dalam Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri.

Nazri berkata, kenyataan seumpama itu boleh menjejaskan imej Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri dan menggambarkan fikiran tidak matang mereka yang mengucapkannya.

"Wanita (MCA) sakit hati kalau tindakan tegas tidak diambil. Ini bukan bahan gelak ketawa," katanya.

Kenyataan berbaur seksi turut menjadi isu pada persidangan Dewan Rakyat dua tahun lepas.

Nazri yang bertanggungjawab dalam urusan Parlimen berkata, beliau akan meminta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengingatkan MP BN mengenai perkara itu pada mesyuarat pra-persidangan Dewan Rakyat akan datang, termasuk menghantar memorandum kepada Speaker.

Beliau berkata, Wanita MCA mencadangkan supaya dipinda Seksyen 36(6) (B) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dan mengadakan kod etika bertulis yang menghalang kenyatan dan kelakuan berbaur seksis.

"Saya yakin perkara ini akan mendapat perhatian Tuan Speaker and ahli-ahli Dewan untuk laksanakan cadangan ini," katanya.

Chew pula berkata, sehingga kini tiada MP atau ADUN yang dihukum ekoran mengeluarkan kenyataan berbaur seksis. BERNAMA

Artikel Lain