suria

Tiga beranak disimbah asid

KEPALA BATAS: Sepasang suami isteri dan anak lelaki mereka cedera selepas dipercayai disimbah dengan asid oleh dua lelaki di rumah mereka di Taman Bertam Perdana di sini malam tadi. Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Zuraidi Jaafar, 30an, yang cedera parah di bahagian muka dan dada dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP), manakala isterinya yang dikenali Ani telah dibenarkan keluar dari hospital hari ini.

Menurut rakan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Zul, anak bongsu daripada tiga anak pasangan itu yang berusia tujuh tahun turut mengalami kecederaan dalam kejadian itu.

"Ketika kejadian saya dan beberapa rakan baru pulang dari makan dan semasa lalu di hadapan rumahnya, terdengar bunyi bising," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya beliau terus meluru ke rumah mangsa dan melihat mangsa serta isteri dan anaknya menangis menahan kesakitan di ruang tamu rumah. "Kami terus bawa mereka ke Hospital Kepala Batas dan ketika dalam perjalanan Zuraidi sempat memaklumkan apa yang berlaku.

"Dia beritahu dua lelaki menaiki motosikal datang ke rumahnya yang mana salah seorang tibatiba masuk ke dalam rumah dan menerpa ke arah beliau serta anak dan isteri yang sedang menonton televisyen lalu menyimbah asid sebelum melarikan diri," katanya.

Zul berkata berikutan kecederaan parah yang dialami Zuraidi dan isterinya, mereka dimasukkan ke HPP manakala anak mereka dibenarkan pulang.

Sementara itu, usaha wartawan untuk menemubual mangsa dan anggota keluarganya di HPP gagal berikutan mereka enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Zulkifli Ilias ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

"Kita belum mengambil keterangan mangsa berikutan mangsa dalam keadaan kritikal, tetapi difahamkan kejadian itu berlaku dengan pantas dan kita meminta saksi yang melihat kejadian itu menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan," katanya.

Katanya kes itu disiasat menurut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan jika sabit kesalahan ia boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan tiga tahun atau denda atau sebat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain