suria

Santiago: Belum ada maklum balas Speaker DUN Selangor

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago sehingga petang ini tidak menerima sebarang maklum balas daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Teng Chang Khim berhubung dakwaannya Ahli Parlimen DAP itu telah dibeli Barisan Nasional (BN).

"Belum ada apa-apa perkembangan setakat ini dan beliau juga tidak menghubungi saya sehingga sekarang (3 petang ini).

"Bagaimanapun tempoh tujuh hari yang diberikan kekal," kata Santiago ketika dihubungi mStar Online.

Cubaan untuk menghubungi Teng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Sungai Pinang, belum berhasil.

Teng dan Santiago adalah dari DAP.

Bagaimanapun jelas Santiago, beliau sudah menghubungi peguamnnya berhubung tindakan susulan dalam isu ini.

Selangor kini dipimpin oleh kerajaan Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh PKR, DAP dan PAS.

Santiago memberikan tempoh tujuh hari kepada Teng mulai semalam untuk menyediakan bukti bahawa beliau telah dibeli oleh BN.

"Jika bukti tidak dikemukakan, beliau harus menarik balik kenyataannya dan mengemukakan permintaan maaf terbuka.

"Saya akan mengambil tindakan ke atas beliau jika tiada permohonan maaf dikemukakan dalam tujuh hari," kata Santiago.

Teng didakwa membuat kenyataan sedemikian yang disiarkan China Press.

Artikel Sebelum

Artikel Lain