suria

Polis tidak siasat dakwaan penulis buku mengenai pengundi hantu di Sabah

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah menyiasat manamana dakwaan termasuk mengenai kehadiran pengundi hantu di Sabah seperti mana yang dibangkitkan penulis Abdul Mutalib Mohd Saud dalam bukunya bertajuk 'IC Palsu Merampas Hak Anak Sabah'.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, buku tersebut telah dijual kepada masyarakat umum dan kementerian tidak mempunyai halangan berhubung penjualan buku itu.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) di Dewan Rakyat yang bertanya sama ada polis telah menyiasat tuduhan dalam buku tersebut yang turut mendakwa berlakunya penyelewengan ketara oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam pilihan raya di Sabah.

Buku itu yang diterbitkan pada Januari 1999 dan diulang cetak pada April 1999 antara lain berkisar mengenai isu kononnya kemenangan Barisan Nasional (BN) di dalam pilihan raya Sabah adalah disebabkan oleh pengundi hantu atau pemegang kad pengenalan palsu.

Syed Hamid berkata sekiranya terdapat sebarang bentuk penyelewengan dilakukan oleh SPR, ia akan disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Dalam isu berbeza, Syed Hamid berkata kini terdapat 371,234 pemegang kad pengenalan merah di negara ini yang mana 15,535 orang daripadanya adalah orang Melayu, Cina (40,733), India (63,441), Kadazan (119), Iban (472) dan kaum lain (250,934). BERNAMA

Artikel Lain