suria

Bubar Majlis Peguam jika mahu berpolitik Abu Zakar

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam Malaysia perlu dibubarkan jika badan itu bertindak tidak ubah seperti sebuah parti pembangkang, mempersoalkan hak-hak pribumi di negara ini.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata badan itu kini tidak lagi memainkan peranan yang sepatutnya kepada peguam-peguam yang menjadi anggotanya.

"Saya menasihatkan supaya Majlis Peguam dibubarkan dan mereka yang terbabit menubuhkan sebuah parti jika ingin aktif dalam politik," katanya ketika berucap di program wacana isu perundangan dan hak-hak pribumi dalam perlembagaan di Memorial Tun Hussein Onn di sini hari ini.

Beliau juga meminta semua peguam Melayu di negara ini supaya bersatu dalam menangani isu bangsa mereka yang berada dalam keadaan "amat tertekan sekali" ketika ini.

Katanya, isu berhubung hakhak keistimewaan orang Melayu sering dibangkitkan lebih-lebih lagi selepas Pilihan Raya Umum 8 Mac lepas dan "saya tidak sanggup lagi menghadapi situasi seperti yang berlaku pada 13 Mei 1969."

Dalam ucapannya, Abu Zahar yang juga anggota jawatankuasa Lembaga Disiplin Umno berkata lembaga itu tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati mengamalkan rasuah atau politik wang.

"Kita nak pemuda harapan bangsa, yang ada hari ini kebanyakannya adalah pemusnah bangsa," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Tiga disyaki bookie ekor ditahan

Artikel Berikut

Artikel Lain