suria

Kes bunuh Altantuya Afidavit selamatkan Razak Baginda

[DIKEMAS KINI] SHAH ALAM: Penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda (gambar) telah "diselamatkan" oleh afidavitnya sendiri yang telah diterima oleh mahkamah sebagai alasan untuk membebaskannya daripada pertuduhan bersubahat dengan dua anggota polis dalam pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Zaki Md Yasin memutuskan kenyataan pembuktian tidak bersalah yang terkandung dalam afidavit Abdul Razak telah membatalkan pertuduhan bersubahat yang dihadapinya.

Tindakan Abdul Razak memfailkan afidavit adalah di luar jangkaan sehingga disifatkan oleh kalangan perundangan sebagai "kini burung sudah terlepas dari sangkar".

"Pada pandangan saya, sebaik sahaja elemen penting bagi bersubahat, iaitu, secara hasutan, konspirasi dan bantuan, dan dalam konteks kes ini, kematian Altantuya tidak dibuktikan berdasarkan keterangan prima facie, sebarang kesimpulan dan keraguan lain yang mungkin timbul perlu diselesaikan, seperti perkara ini, memihak kepada tertuduh.

"Mahkamah tidak boleh memerintahkan bela diri hanya semata-mata untuk menjelaskan atau mengesahkan keraguan itu," kata Mohd Zaki dalam penghakimannya semasa membebaskan dan melepaskan Abdul Razak.

Hakim berkata, afidavit itu menyokong keterangan empat saksi, penyiasat persendirian P. Balasubramaniam, sepupu Altantuya, Burmaa Oyuchimeg, Lans Koperal Rohaniza Roslan dan Siti Aishah Mohd Azlan, dan keadaan persekitaran yang lain.

Kenyataan pembuktian tidak bersalah bermaksud kenyataan oleh defendan atau tertuduh yang cenderung membebaskan defendan/tertuduh daripada pertuduhan, atau kenyataan yang cenderung memberikan justifikasi atau alasan bagi tindakan atau kehadirannya.

Afidavit itu difailkan oleh Abdul Razak untuk menyokong permohonannya bagi ikat jamin sebelum perbicaraan dengan niat untuk menunjukkan yang beliau tidak bersubahat dalam pembunuhan itu.

Dalam afidavit itu, Abdul Razak mendedahkan butiran hubungan sulitnya dengan Altantuya dengan menyatakan beliau bertemu wanita itu pada 2004 yang menyaksikan mereka bercuti bersama ke Hong Kong, Shanghai, Singapura dan Perancis.

Abdul Razak, yang berkahwin dengan Mazlinda Makhzan dan mereka mempunyai seorang anak perempuan, Rowena, berkata beliau memutuskan hubungan dengan Altantuya sekitar Ogos 2005.

Dalam afidavit itu beliau juga menyatakan yang dirinya diperas ugut oleh Altantuya.

Altantuya, ibu kepada dua anak lelaki berumur empat dan 10 tahun, mendapat latihan sebagai guru dan penterjemah dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Russia di National University of Mongolia.

Abdul Razak juga menyatakan dalam afidavit itu yang beliau mendapatkan khidmat penyiasat persendirian P. Balasubramaniam dan juga mendapatkan bantuan daripada pegawai polis DSP Musa Safri, kerana Altantuya "mengganggu" beliau dan keluarganya.

Dalam afidavit itu, Abdul Razak juga menceritakan yang beliau didesak oleh Balasubramaniam untuk mengusir Altantuya dari Malaysia tetapi beliau dan peguamnya Dhiren Norendra tidak bersetuju dengan cadangan itu.

Abdul Razak juga berkata, DSP Musa menghubunginya menyatakan Azilah akan membantunya berhubung "gangguan" Altantuya.

Dalam keputusannya, Zaki berkata, tidak seperti kenyataan percakapan beramaran dan pengakuan, afidavit Abdul Razak bukan sebahagian proses penyiasatan.

Katanya, mengikut Seksyen 13 Akta Sumpah dan Ikrar 1949, pihak yang diberikan kuasa oleh akta itu untuk melaksanakan sumpah dan ikrar adalah terikat untuk menyatakan kebenaran.

"Oleh kerana afidavit ini adalah sebahagian kes pendakwaan, pada pandangan saya, dengan itu, seluruh isi kandungannya termasuk bahagian pembuktian tidak bersalah mesti diberikan pertimbangan sewajarnya sepertimana keterangan lain bagi pendakwaan," kata Mohd Zaki.

BICARA DUA TAHUN

Selepas dua tahun dibicarakan atas tuduhan bersubahat membunuh seorang wanita Mongolia, Abdul Razak dibebaskan daripada pertuduhan itu oleh Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Tinggi membebaskannya tanpa dipanggil membela diri.

Namun dua anggota polis yang menghadapi pertuduhan membunuh wanita itu, Altantuya Shaariibuu, diperintah membela diri.

Mahkamah menetapkan 10 November ini bagi Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, daripada Unit Tindakan Khas (UTK), untuk membela diri.

Air mata kegembiraan dan kesedihan menitis dalam mahkamah semalam selepas Mohd Zaki menyampaikan keputusan itu.

Abdul Razak dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat dalam pembunuhan Altantuya, 28, di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara 9.54 pagi, 10 Oktober dan 9.45 pagi, 19 Oktober 2006.

Azilah dan Sirul Azhar menghadapi pertuduhan membunuh Altantuya di satu lokasi antara lot 12843 dan lot 16735 di Mukim Bukit Raja di sini antara 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober 2006.

Keluarga Abdul Razak dicengkam emosi selepas Zaki memutuskan yang beliau mendapati tiada kes prima facie terhadap Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia itu.

Prima facie dalam bahasa Latin merujuk kepada kes yang mempunyai bukti yang cukup dan pada kadar minimum yang diperlukan untuk membolehkannya diteruskan dalam proses kehakiman.

Zaki berkata seluruh isi kandungan afidavit Abdul Razak mengandungi kenyataan pembuktian tidak bersalah yang patut diterima dan diberi pertimbangan sewajarnya.

Kenyataan pembuktian tidak bersalah ialah kenyataan yang dibuat oleh defendan atau tertuduh yang cenderung membebaskan defendan/tertuduh daripada kesalahan seperti pertuduhan, atau kenyataan yang cenderung memberikan justifikasi atau alasan bagi tindakan atau kehadirannya.

Abdul Razak yang mengenakan kemeja berjalur biru muda, pada awalnya kelihatan seperti tidak percaya dengan apa yang dikatakan oleh hakim namun riak wajahnya bertukar kepada lega dan tersenyum lebar.

Isteri Abdul Razak, Mazlinda Makhzan, anaknya Rowena dan anggota keluarganya menitiskan air mata gembira dan kesemua mereka bergegas memeluk Abdul Razak sebaik sahaja keputusan itu diumumkan.

Abdul Razak enggan memberikan sebarang komen ketika ditanya oleh media mengenai perasaannya berhubung pembebasannya itu.

Beliau beredar dari premis mahkamah di tingkat empat bangunan itu melalui tangga belakang.

SEDIH

Sementara Azilah dan Sirul Azhar terkejut besar, sedih dan kesal dengan keputusan mahkamah. Harapan mereka untuk dibebaskan kelam.

Mereka mempunyai tiga pilihan untuk membela diri iaitu memberi keterangan bersumpah, memberi keterangan dalam kandang tertuduh atau berdiam diri.

Kedua-duanya memilih untuk memberi keterangan bersumpah.

Pertimbangan sewajarnya akan diberikan kepada tertuduh yang memilih untuk memberikan keterangan bersumpah, di mana tertuduh boleh diperiksa balas oleh pendakwaan.

Keterangan yang diberikan dalam kandang tertuduh pula tidak akan diperiksa balas oleh pendakwaan.

Jika tertuduh memilih berdiam diri, tertuduh akan disabitkan dan dihukum mengikut penalti yang ditetapkan dalam seksyen yang tertuduh didakwa. Dalam kes ini, hukumannya ialah mati mandatori.

TERIMA KENYATAAN

Dalam penghakimannya, Zaki menerima kenyataan yang diberikan oleh Azilah dan Sirul Azhar kepada polis sebagai sebahagian keterangan.

Azilah memberikan kenyataan yang mendedahkan lokasi tempat Altantuya ditembak dan mayatnya diletupkan manakala Sirul Azhar mendedahkan kepada polis tempat barangan kemas milik Altantuya disembunyikan.

"Saya berpuas hati bahawa wujud kes prima facie terhadap tertuduh pertama (Azilah) dan tertuduh kedua (Sirul Azhar) untuk menjawab pertuduhan terhadap mereka. Saya dengan ini memutuskan tertuduh pertama dan kedua untuk membela diri," katanya.

Altantuya, ibu kepada dua anak lelaki masingmasing berusia 4 tahun dan 10 tahun, mendapat latihan sebagai guru dan penterjemah dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Rusia di National University of Mongolia.

Pembunuhannya digambarkan sebagai amat kejam kerana mayatnya diletupkan dengan bahan letupan.

Pakar forensik menemui cebisan dagingnya bertaburan di kawasan di Puncak Alam di sini.

Kes itu mendapat liputan meluas kerana Altantuya dilaporkan datang ke Malaysia untuk mencari Abdul Razak yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengannya.

SELAMA 151 HARI

Mahkamah telah mengambil masa selama 151 hari bermula 4 Jun tahun lepas untuk mendengar keterangan daripada 84 saksi pendakwaan sebelum menangguhkan keputusan itu sehingga semalam selepas kes pendakwaan ditutup pada 23 Jun lepas.

Hakim Zaki mengambil masa kira-kira 25 minit dari 9.40 pagi untuk menyampaikan penghakimannya. Mahkamah kemudian menangguhkan prosiding kirakira 15 minit bagi memutuskan tarikh bagi Azilah dan Sirul Azhar membela diri.

Apabila prosiding disambung semula, Hakim mahu mendengar pembelaan diri oleh tertuduh petang ini tetapi menetapkan 10 November selepas membenarkan permohonan peguam yang mewakili Azilah, Datuk Hazman Ahmad, dan peguam bela Sirul Azhar, Kamarul Hisham Kamaruddin.

Hazman memaklumkan kepada mahkamah yang beliau mungkin akan memanggil enam hingga tujuh saksi manakala Kamarul Hisham berkata beliau akan memanggil penulis blog Raja Petra Kamarudin dan memanggil semula penyiasat persendirian P. Balasubramaniam untuk memberikan keterangan.

Raja Petra sedang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau telah membuat akuan bersumpah mengaitkan seorang ahli politik kanan dan isterinya dalam pembunuhan itu.

Balasubramaniam juga membuat akuan bersumpah serupa tetapi menarik balik akuan itu tiga hari kemudian dalam satu lagi akuan bersumpah.

Mahkamah juga membenar peguam bela Abdul Razak, Wong Kian Kheong untuk bertindak sebagai peguam pemerhati pada perbicaraan peringkat pembelaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain