suria

Berpuluh penumpang feri Langkawi terkandas

ALOR STAR: Berpuluh-puluh pengunjung yang ingin menghabiskan cuti Aidilfitri di Pulau Langkawi terkandas di Jeti Kuala Kedah petang semalam dan pagi ini apabila perjalanan feri tidak mengikut jadual.

Tinjauan mendapati mereka bukan sahaja terpaksa menunggu lama untuk feri malah tidak diberi penjelasan oleh syarikat penggendali feri mengenai sebab-sebab jadual perkhidmatan feri itu ditunda selama berjam-jam.

Daripada lapan syarikat feri di situ hanya empat yang beroperasi semasa cuti raya menyebabkan kekerapan perjalanan berkurang sedangkan ramai mahu ke pulau itu untuk bercuti.

Seorang penumpang Abdul Rashid Osman, 50, dari Kota Kuala Muda berkata beliau terkandas lebih empat jam di jeti itu dan kesal dengan sikap pengusaha feri yang tidak menghiraukan keselesaan penumpang di musim perayaan.

"Saya amat kecewa kerana terkandas berjam-jam tanpa dilayan atau dimaklumkan apa yang sebenarnya berlaku," katanya semasa ditemui petang semalam.

Jurutera Awam dari Kuala Lumpur, Azhari Shaari, 37, berkata sikap pengusaha feri itu memalukan negara apabila terdapat juga pelancong asing yang terkandas dan bosan menunggu feri selama hampir 5 jam.

Azhari berkata, tiada seorangpun wakil syarikat feri memberi penjelasan atas kelewatan sedangkan ramai penumpang yang membawa kaum keluarga begitu letih dan dalam keadaan lapar dan dahaga.

Mohd Nor Aizi Mohd Shazali, 55, dari Kelana Jaya berkata beliau bersama lima anggota keluarganya yang tiba dijeti pada pukul 1 petang terpaksa menunggu hingga 5 petang untuk menaiki feri ke pulau pelancongan itu.

Sementara itu, Pengurus Koperasi Ferry Line Ventures Sdn Bhd Hussin Hasan ketika ditemui berkata, sempena Hari Raya pihaknya menyediakan sebanyak 48 buah feri untuk membawa penumpang dari pukul 7.15 pagi hingga 7 malam.

Katanya, syarikat beliau telah menyediakan perkhidmatan yang baik namun terdapat beberapa syarikat lain yang telah mengabaikan tanggungjawab mereka dan ia telah menyebabkan jadual perjalanan feri menjadi kelam kabut.

Bagaimanapun keadaan dijangka pulih pada tengah hari apabila bilangan feri dalam perkhidmatan meningkat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain