SEORANG pengusaha restoran menghadiahkan kereta BMW baharu kepada pekerja berprestasi tinggi kerana tidak sanggup melihat mereka berulang-alik menaiki motosikal elektrik.Setiap kereta dibayar sepenuhnya oleh majikan sebelum diserahkan kepada pekerja. Antara penerima ialah seorang pekerja yang sudah lapan tahun berkhidmat di restoran berkenaan.Menurutnya, dia sangat teruja apabila majikannya memberitahu dalam perjalanan ke pusat jualan BMW bahawa dia akan diberikan sebuah 'mainan besar'.Sebuah BMW putih baharu kemudian didaftarkan atas namanya pada hari sama dan dia tidak perlu membayar walau satu sen.Majikannya juga tidak meminta dia menandatangani sebarang perjanjian sebagai pertukaran pemberian tersebut.Idea untuk menghadiahkan BMW kepada pekerja tercetus pada musim sejuk di China lalu selepas majikan berkenaan melihat keadaan pekerjanya ketika tiba di restoran pada awal pagi.Ketika itu, wajah pekerja terbabit kelihatan kemerah-merahan akibat kesejukan, telinganya bertukar keunguan manakala tangannya menjadi kaku akibat angin sejuk.Pengusaha berkenaan kemudian berkata dia berasa kasihan melihat pekerjanya terpaksa berdepan keadaan itu."Saya boleh duduk dalam kereta dan menikmati perjalanan yang selesa serta hangat. Mengapa dia tidak boleh?" katanya.Menurutnya, kejayaan perniagaannya bukan hasil usahanya seorang, sebaliknya turut disumbangkan oleh semua pekerja."Saya sudah mencapai kejayaan dalam kerjaya, tetapi kemakmuran syarikat adalah hasil usaha bersama semua pekerja. Jadi, saya mahu mereka turut menikmati kejayaan syarikat," katanya.Pengusaha restoran berkenaan, Ma Yanli, merupakan pemilik rangkaian restoran hotpot daging yang berpangkalan di Jiaozuo, wilayah Henan.Beberapa pekerjanya dibawa untuk mengambil kereta masing-masing pada 24 September lalu.Selain penerima pertama, seorang lagi pekerja, Liu Yingying, turut menerima sebuah BMW berwarna kelabu.Liu berkata, majikannya memberitahu bahawa usaha keras dan prestasi kerjanya menyebabkan dia layak menerima kereta berharga 300,000 yuan (RM180,000) itu.Ma yang sudah dua dekad dalam industri makanan dan minuman itu juga dikenali kerana sering memberikan hadiah serta bonus kepada pekerjanya ketika musim perayaan tradisional China.Tindakan majikan yang memberikan hadiah atau ganjaran besar kepada pekerja sememangnya sering mendapat perhatian di negara berkenaan.Seorang lagi tokoh korporat, Cui Peijun, pengerusi Henan Kuangshan Crane Company, misalnya pernah memberikan bonus keseluruhan 180 juta yuan (RM108 juta) kepada pekerjanya sebelum sambutan Tahun Baharu Cina tahun lalu.Jumlah itu bersamaan kira-kira dua pertiga daripada keuntungan syarikat pada tahun sebelumnya.Pada setiap Hari Wanita Antarabangsa, Cui turut memberikan 800 yuan (RM480) kepada setiap daripada 2,000 pekerja wanitanya, manakala pekerja dari kawasan luar bandar menerima 1,000 yuan (RM600) setiap Ogos sebagai bantuan menyewa mesin menuai untuk keluarga mereka.-Agensi