PENDUDUK di County Durham, United Kingdom gempar dengan penemuan rangka bayi dipercayai sudah berusia lebih 100 tahun di bawah lantai kayu sebuah rumah. Penemuan mengejutkan itu dibuat seorang kontraktor ketika sedang mengubahsuai unit flat yang menjadi lokasi penemuan rangka bayi berkenaan pada 28 Julai lalu. Walau bagaimanapun, rangka bayi itu dilaporkan berada dalam keadaan mencurigakan kerana ia dibalut dengan surat khabar dan terdapat seutas tali dililit pada lehernya. Hasil pemeriksaan awal mendedahkan tarikh surat khabar itu adalah tahun 1910. Pemeriksaan forensik juga mengesahkan rangka bayi itu berumur 40 minggu sebelum meninggal dunia, namun jantinanya masih belum dikenal pasti. Rekod menunjukkan kediaman flat itu pernah menjadi unit penempatan ibu dan bayi yang dikendalikan gereja. Dalam pada itu, Ketua Detektif, Inspektor Mel Sutherland berkata punca kematian bayi itu akan disiasat hingga ke akar umbi walaupun sudah berlaku hampir seabad lalu. "Kita masih mempunyai tanggungjawab terhadap bayi ini. "Fokus utama saya dan pasukan adalah untuk mengetahui identiti siapa bayi itu, apa yang sebenarnya terjadi dan bagaimana ia boleh berada di bawah lantai rumah. "Kami sedang mengumpul maklumat mengenai sejarah pemilikan rumah itu dari tahun 1900 hingga 1920. "Selain itu kami juga cuba mengesan ahli keluarga atau saudara-mara masih hidup yang mempunyai pertalian darah dengan bayi ini," ujarnya. Tambah Mel, pihaknya akan membuat pengebumian yang bersesuaian sebagai penghormatan terakhir kepada rangka bayi itu. - Sky News Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube