suria

Doktor mula berjaga-jaga, 60 individu masuk hospital gara-gara selsema misteri yang menyerupai Covid-19

Selsema boleh membuatkan kita tidak selesa untuk menjalani kehidupan seharian. -Gambar hiasan

SERAMAI 60 individu dimasukkan ke hospital di Argentina gara-gara mengalami selsema misteri yang dikatakan menyerupai wabak Covid-19.

Pada 17 April, amaran tentang virus itu diedarkan melalui sistem pengawasan kesihatan awam antarabangsa selepas 60 individu dilaporkan mengalami penyakit itu di Buenos Aires, lapor Daily Mail.

Amaran itu berkata: "Dalam 30 hari yang lalu, nampaknya terdapat peningkatan dalam kes radang paru-paru atipikal yang teruk dan memerlukan penjagaan kritikal di Buenos Aires. Individu yang terjejas kebanyakannya adalah golongan muda tanpa faktor risiko utama.”

Amaran yang dikeluarkan itu sama seperti amaran yang dikeluarkan ketika wabak Covid-19 mula menjadi perhatian dunia sekitar akhir 2019.

Walaupun tiada kenyataan rasmi dibuat oleh pegawai Argentina, pesakit dilaporkan memerlukan pengudaraan mekanikal untuk membantu mereka bernafas.

Amaran itu juga mencadangkan lebih satu pertiga daripada populasi yang sakit menunjukkan gejala psittacosis, disebabkan oleh sejenis klamidia yang berleluasa dalam burung.

Bagaimanapun, ramai yang terjejas tidak mempunyai sejarah jelas berhubung dengan burung, kata amaran itu.

Psittacosis ialah penyakit seperti selesema dan biasanya mencetuskan gejala seperti sakit kepala ringan dan batuk, walaupun ia boleh menyebabkan radang paru-paru dalam kes yang teruk.

Penyakit ini boleh menjadi masalah terutamanya bagi orang tua atau orang awam yang lemah imun. - Daily Star.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain