suria

Misteri kehilangan isteri hampir setahun terjawab, suami akhirnya buka cerita... Mayat ditemukan ditanam sebelah rumah

Proses menggali di lokasi penemuan mayat mangsa. -Gambar KhaoSod

SELEPAS hampir setahun, seorang lelaki berusia 58 tahun akhirnya membuat pengakuan telah membunuh isterinya sendiri.

Kegiatannya itu terbongkar apabila menimbulkan kecurigaan polis, sehingga membawa kepada penemuan mayat isterinya yang ditanam di sebelah kediaman pasangan itu di Lopburi, Thailand.

Pada Rabu lalu, adik lelaki mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Koktum mengenai kehilangan kakaknya berusia 47 tahun, sejak 1 Ogos tahun lalu.

Polis memulakan siasatan di kediaman mangsa dekat Kuil Nong Tham.

Mereka bertemu dengan suami mangsa dan mendapati gerak-gerinya mencurigakan termasuk cubaan melarikan diri daripada pihak berkuasa.

Selepas disoal siasat selama lebih tiga jam, dia akhirnya mengaku membunuh isterinya dan menanam mayat mangsa di sebelah rumah mereka.

Pembunuhan itu dilakukan pada 1 Ogos tahun lalu, dan ini bermakna mayat telah disembunyikan selama hampir lapan bulan.

Ketua polis Balai Koktum, bersama pegawai forensik dan sukarelawan dari yayasan tempatan, dipanggil ke lokasi kejadian.

'Kubur' sedalam satu meter dan 80 sentimeter lebar itu digali sebelum menemukan satu guni mengandungi mayat mangsa yang telah reput.

Sementara itu, suspek mendedahkan dia pernah mempunyai sejarah hubungannya yang bermasalah dan pernah berkahwin sebanyak empat kali sebelum ini.

Pasangan itu tidak mempunyai anak dan hubungan mereka bermasalah berkaitan dengan isu ketagihan minuman keras dan penyalahgunaan dadah.

Pada hari kejadian, mangsa dikatakan mengugut suspek untuk meninggalkannya demi lelaki lain sebelum menyerangnya menggunakan pisau.

Memetik laporan KhaoSod, suspek yang berang kemudian memukul mangsa menggunakan tukul, sebelum menanam mayat mangsa dan berpura-pura mencari isterinya yang hilang.

Kes ini dalam siasatan polis. - Thaiger

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain