suria

Wanita dijatuhi hukuman penjara 50 tahun selepas alami keguguran, didapati bersalah ‘ambil nyawa’ anak sendiri

Lesly dijatuhi hukuman penjara selama 50 tahun kerana 'membunuh' bayi yang dikandungnya.

SEBUAH mahkamah di El Salvador telah menjatuhkan hukuman penjara selama 50 tahun kepada seorang wanita muda kerana melakukan 'pembunuhan', selepas mengalami keguguran di dalam tandas.

Lesly Lisbeth Ramirez, 21, telah dijatuhi hukuman tersebut penghujung Jun lalu di bawah undang-undang pengguguran yang zalim di negara kecil Amerika Tengah itu.

Mahkamah menuduh wanita dari El Volcan de San Miguel itu 'mengambil nyawa bayinya yang baru lahir dengan mencederakannya menggunakan pisau di leher' ketika menjatuhkan hukuman maksimum tersebut kepadanya.

Lesly pergi ke tandas pada 17 Jun 2020, dan tidak menyedari dia mengalami keguguran sehingga bayi perempuannya terjatuh ke dalam mangkuk tandas sebelum meninggal dunia, dakwa kumpulan aktivis.

Dia segera dikejarkan ke hospital, tetapi tidak lama kemudian didakwa dengan pertuduhan jenayah berat.

Hanya 10 hari selepas keguguran, dia diarahkan menghadiri perbicaraan pertamanya, namun tidak dapat berbuat demikian kerana masih menjalani prosedur pemindahan darah.

Walaupun tidak hadir, hakim tetap memerintahkan supaya wanita itu ditahan.

Lesly dibicarakan dan akhirnya mahkamah mendapati wanita itu bersalah melakukan pembunuhan sekaligus dijatuhkan hukuman penjara 50 tahun.

Menurut kumpulan hak asasi manusia, ia adalah kali pertama hukuman maksimum dilaksanakan sejak pengguguran diklasifikasikan sebagai jenayah di negara tersebut pada 1998. - Dailystar

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain