suria

‘Tikus pahlawan’ pernah kesan lebih 100 periuk api dan diberi pingat kini sudah mati

Magawa bantu kesan periuk api di Kemboja.

MAGAWA, seekor tikus yang telah menemui lebih 100 periuk api dan bahan letupan di Kemboja dan memenangi pingat kerana kepahlawanan, telah meninggal dunia pada usia lapan tahun, menurut badan amal yang melatihnya.

Magawa, yang bersara pada Jun tahun lalu, meninggal dunia pada hujung minggu lalu, umum sebuah organisasi bukan kerajaan antarabangsa APOPO pada Selasa.

"Magawa berada dalam keadaan sihat dan menghabiskan sebahagian besar minggu lepas bermain dengan penuh bersemangat seperti biasa, tetapi menjelang hujung minggu dia mula perlahan, dia lebih banyak tidur siang dan kurang minat terhadap makanan," kata APOPO dalam satu kenyataan.

Disebabkan oleh perang saudara yang berlansung selama berdekad-dekad lamanya, Kemboja merupakan salah sebuah negara yang paling banyak periuk api, dengan lebih 1,000 km persegi (386 batu persegi) kawasan dipercayai masih dipenuhi perangkap itu.

APOPO yang berpangkalan di Belgium melatih tikus untuk mengesan periuk api, dan menggelarkannya sebagai "HeroRAT".

Menggunakan tikus untuk menghidu periuk api menjadikan ia kurang berbahaya bagi pengendali manusia.

"Kami semua di APOPO merasai kehilangan Magawa dan kami berterima kasih atas kerja luar biasa yang dia lakukan," kata organisasi itu.

“Sumbangannya membolehkan masyarakat di Kemboja hidup, bekerja dan bermain, tanpa rasa takut kehilangan nyawa atau anggota badan," tambahnya. - AlJazeera

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Magawa, tikus, periuk api, wira, kemboja

Artikel Lain