Koronavirus: Personaliti media sosial makan sup kelawar terima ancaman bunuh

Wang Mengyun memohon maaf kerana memakan kelawar. Foto AsiaWire

SEORANG personaliti media sosial yang merakamkan dirinya memakan sup kelawar mendedahkan dia menerima ancaman bunuh, susulan dunia kini dilanda wabak koronavirus.

Menerusi rakaman itu, Wang Mengyun mengunyah cebisan kelawar dari sebuah mangkuk yang berisi sup warna kelabu, meskipun haiwan liar tersebut dikenal pasti sebagai antara pembawa virus.

Klip video yang tular itu didakwa dirakamkan di sebuah restoran di Wuhan, lokasi penularan wabak tersebut yang menyebabkan kematian.

ARTIKEL BERKAITAN: Bayi pertama usia 9 bulan sah dijangkiti koronavirus, Datuk Bandar dedah 5 juta telah tinggalkan Wuhan

ARTIKEL BERKAITAN: Jururawat di Wuhan cukur rambut untuk mudahkan tugas, elak dijangkiti koronavirus

Wuhan yang mempunyai seramai 11 juta penduduk, menjalani perintah berkurung sejak minggu lalu.

Mengyun memberitahu dia hanya mahu memperkenalkan sajian tempatan di Palau. Foto AsiaWire

Mengyun mendakwa rakaman tersebut dibuat tiga tahun lalu, bagi menunjukkan gaya hidup orang tempatan di Palau, Micronesia.

Dalam satu permohonan maaf yang dikeluarkan buat pengikutnya menerusi platform media sosial China iaitu Weibo, katanya: "Minta maaf semua, saya tidak sepatutnya makan kelawar."

Mengyun turut memberitahu dia menerima ancaman bunuh sejak video berkenaan tular. 

"Ini semua kerana pada 2016, semasa saya menjalani rakaman satu program lawatan di Palau, saya menikmati sup makanan harian orang tempatan.

"Saya tidak tahu apakah virus itu pada Mei 2016. Bila video tersebut dikeluarkan, saya hanya mahu memperkenalkan gaya hidup orang tempatan.

"Saya tidak tahu kelawar akan menjadi pembawa virus," tambahnya. - Mirror

koronavirus, Wuhan, Wang Mengyun, kelawar

Artikel Lain