suria

Bapa biar anak tanggung kesakitan akibat dipukul hingga mati

Dylan mengalami kecederaan parah di hati dan pendarahan dalaman yang serius.

SEORANG pengedar dadah didapati bersalah selepas memukul anak lelakinya berusia dua tahun sehingga mendatangkan kecederaan serius seperti dilanggar sebuah kereta.

Raphael Kennedy, 31, membiarkan anak lelakinya, Dylan Tiffin-Brown menderita kesakitan sehingga maut sebelum menghubungi pihak ambulans dua jam kemudian.

Semasa memberi keterangan di sebuah mahkamah di Northampton, Raphael berkata dia menghantar mesej Snapchant kepada ibu Dylan, Tayla Tiffin, 18, menunjukkan anaknya tersenyum dan memakai baju tidur.

Pasukan paramedik menjumpai Dylan dalam keadaan nyawa-nyawa ikan di sebuah rumah di Northampton pada 15 Disember tahun lalu.

Kanak-kanak itu dikejarkan ke Hospital Umum Northampton pada pukul 12:30 tengah hari tetapi disahkan meninggal dunia 30 minit kemudian.

Hasil bedah siasat mendapati Dylan mengalami kecederaan parah di hati selain pendarahan dalaman yang serius.

Raphael menafikan dia melakukan pembunuhan itu dan mendakwa orang lain menyerang Dylan semasa dia meninggalkannya berseorangan selama 15 minit dengan pintu rumah tidak berkunci.

Raphael Kennedy didapati bersalah membunuh anak lelakinya.

Lelaki tersebut mendakwa semasa kejadian dia sedang berurusan dengan pembeli dadah di sebuah lorong.

Namun tujuh juri perempuan dan lima juri lelaki yang meneliti kes itu sebulat suara mendapati Raphael bersalah.

Keputusan itu dibuat selepas hakim mengambil kira keadaan luka yang dialami Dylan selain pendarahan dalaman di bahagian perut yang ditanggung kanak-kanak tersebut.

Kecederaan itu disifatkan sebagai kesan sama yang dialami mereka yang cedera akibat kemalangan kereta.

Raphael turut disahkan positif dadah.

Menurut hakim, meskipun Dylan terselamat, dia akan mengalami masalah pernafasan dan tidak dapat berjalan.

Raphael mengakui dia menjual heroin dan kokain sebagai sebahagian daripada sumber utama pendapatannya.

Dalam satu kenyataan, ibu Dylan menyifatkan anaknya itu sebagai anak lelaki paling sempurna.

"Senyumannya cerah seperti matahari, matanya bak kristal seperti bintang dan kasih sayangnya adalah perasaan terbaik di dunia.

"Mengetahui saya tidak dapat memeluknya lagi meninggalkan kesakitan yang amat pedih," kata Tayla.

Kennedy akan dijatuhi hukuman pada 30 Oktober ini. - The Sun

bapa, pukul, anak

Artikel Lain