suria

Pengunjung alami kegelapan, ruang sempit Gua Tham Luang dalam pameran interaktif

Orang ramai boleh melihat sekilas usaha besar oleh lebih 8,000 penyelamat untuk mengesan dan menyelamat mangsa dari kedalaman gua Tham Luang. - Chiang Rai Times

BANGKOK: Misi hampir mustahil bagi menyelamat 13 pemain bola sepak muda  dan jurulatihnya dari Gua Tham Luang di Chiang Rai, bulan lepas hingga menarik perhatian dunia, telah menggerakkan kerajaan Thailand untuk menzahirkan peristiwa itu ke dalam bentuk pameran interaktif.

Dari dewan pameran yang selesa dan berhawa dingin di dalam sebuah pasar raya popular Siam  Paragon, orang ramai di Bangkok boleh melihat sekilas usaha besar oleh lebih 8,000 penyelamat untuk  mengesan dan menyelamat pemain bola sepak “Mu Pa” (Wild Boar) dari kedalaman gua yang banjir itu.

Dinamakan "Tham Luang Incredible Mission: The Global Agenda" (Misi Menakjubkan Tham Luang: Agenda Global), pameran interaktif di tempat seluas 400 meter persegi, dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Wissanu Krea-ngam, Rabu lepas dan akan berlangsung sehingga 9 Sept.

“Tarikan utama pada pameran itu, yang dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, semestinya replika gua Tham Luang sepanjang 10 meter, yang dibina dengan ukuran tepat bagi membolehkan orang ramai merasai keperitan sebenar yang dialami para penyelamat sepanjang misi 19 hari itu.

“Anda boleh merasai kegelapan, sempit, terowong yang berbelok-belok dalam (replika) gua itu dan mengharungi jalan keluar dengan hanya satu lampu suluh di tangan,” kata pihak penganjur kepada seorang daripada pelawat sebelum beliau masuk merangkak ke dalam gua replika itu.

Gambar kredit kepada Chiang Rai Times.

Selain replika gua, yang tidak popular itu, pengunjung ke pameran berkenaan juga didedahkan  kepada pelbagai peralatan sebenar yang digunakan oleh pasukan penyelamat semasa misi itu serta  rakaman eksklusif aksi para penyelamat di dalam gua berkenaan.

Patung gangsa menyerupai bekas penyelam Tentera Laut Diraja Thai SEAL, Saman Kunan, yang terkorban semasa misi menyelamat itu turut dipamerkan bersama-sama potret mendiang dan mesej takziah oleh pemain bola sepak “Mu Pha” sendiri.

Saman yang secara sukarela menyertai misi itu selepas mengetahui rintihan kanak-kanak berkenaan  telah dianggap sebagai “hero sebenar gua Tham Luang” oleh rakyat Thai.

Pameran itu juga mempamerkan pelbagai mesej tahniah oleh individu ternama termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, David Beckham dan Lionel Messi selepas para penyelamat berjaya membawa keluar semua 13 kanak-kanak dan jurulatih mereka dengan selamat.

Selepas Bangkok, pameran interaktif itu akan menjelajah ke bahagian lain negara ini.

Pada 8 Sept ini, kerajaan Thai atas arahan Raja Maha Vajiralongkorn akan mengadakan satu acara di Royal Plaza Bangkok bagi melahirkan rasa kesyukuran kepada 8,000 penyelamat yang terlibat dalam misi yang berjaya menyelamatkan kesemua kanak-kanak berkenaan. - Bernama

Gua Tham Luang

Artikel Sebelum

Artikel Lain