suria

Wira perang John McCain meninggal dunia akibat kanser otak, pernah berkata tak mahu Trump hadiri pengebumiannya

Gambar fail John McCain. Foto AFP

SENATOR Amerika Syarikat (AS), John McCain meninggal dunia pada usia 81 tahun akibat kanser otak.

Pada Jumaat, keluarga mendiang mengumumkan rawatan kanser dihentikan ke atas senator veteran itu.

Pejabatnya mengumumkan beliau meninggal dunia di sisi isterinya, Cindy dan keluarga di kediamannya di Hidden Valley di Arizona pada pukul 4.28 petang Sabtu (7.28 pagi Ahad).

Bekas Presiden AS, Barack Obama memberi penghormatan kepada ahli politik dari era yang berlainan tetapi berkongsi kesetiaan kepada nilai AS.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya, mendiang berkhidmat dengan penuh setia bersama AS selama 60 tahun.

Beliau akan menyambut ulang tahun ke-82 pada Rabu. 

Bendera AS dikibarkan separuh tiang di Rumah Putih pada malam Sabtu.

McCain bersaing dalam pilihan raya presiden 2008, dan dikalahkan oleh Obama.

Bekas juruterbang pesawat tempur Tentera Laut itu pernah menjadi tahanan perang di Vietnam selepas jetnya ditembak jatuh ketika dalam misi pengeboman di Hanoi pada Oktober 1967.

McCain sebelum ini pernah memberitahu beliau tidak mahu Presiden AS, Donald Trump menghadiri upacara pengebumiannya sekiranya dia meninggal dunia. 

Hubungan Trump-McCain bertambah buruk terutamanya ketika pilihan raya presiden 2016, apabila Trump mengatakan McCain, tahanan perang selama bertahun-tahun di Vietnam bukan seorang wira perang sebenar kerana ditawan musuh.

Bagaimanapun, Trump menerusi status di akaun Twitternya memberi penghormatan di atas pemergian McCain dan mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang. - Mail Online UK

John McCain

Artikel Lain