Momo Challenge ragut dua nyawa - Dunia | mStar

Momo Challenge ragut dua nyawa

KOLKATA: Pihak berkuasa di utara Bengal mengambil langkah berjaga-jaga berikutan laporan dua individu membunuh diri setelah menyertai permainan atas talian, Momo Challenge.

Menurut seorang pegawai penguasa, selain menghantar arahan berjaga-jaga ke semua balai polis di daerah berkenaan, pihaknya turut meminta institut pengajian agar mengawasi corak tingkah laku pelajar.

Risalah turut diedarkan kepada orang ramai untuk meningkatkan kesedaran terhadap bahaya Momo Challenge.

"Selepas Blue Whale Challenge, kini kita berdepan Momo Challenge yang semakin menular menerusi aplikasi WhatsApp, anggota kami telah diarahkan untuk memantau situasi terkini berhubung kes ini," katanya.

Sementara itu, laporan mengatakan Momo Challenge telah meragut nyawa seorang remaja berusia 18 tahun, Manish Sarki pada 20 Ogos lalu manakala Aditi Goyal, 26, pula dilaporkan maut sehari selepas itu.

Polis mengesyaki kematian kedua-dua mangsa yang berasal dari Kurseong di daerah Darjeeling itu mempunyai kaitan dengan permainan atas talian berkenaan yang menggalakan pemainnya membunuh diri.

Pakar siber, Sandeep Sengupta menasihati orang ramai agar tidak menerima sebarang 'jemputan' untuk menyertai Momo Challenge dari nombor tidak dikenali dan tidak membuka tautan yang mencurigakan. - NDTV

 

Momo Challenge

Artikel Lain