suria

Lombok terus bergoncang

JAKARTA: Pulau Lombok di Nusa Tenggara Barat Indonesia masih terus bergoncang dengan ratusan gempa susulan dicatatkan sejak gempa kuat bermagnitud 7 pada Skala Richter (SR) menggegarkan pulau itu pada 5 Ogos lepas.

Gempa bumi dengan kekuatan 6.9 SR telah menggoncang Lombok dan sekitarnya  pada jam 19.56 waktu Indonesia bahagian barat malam tadi, menurut data  yang dikeluarkan oleh Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG).

"Gempa susulan dari gempa 6.9 SR masih terus berlangsung. Tercatat 101 kali gempa susulan sudah berlangsung dengan sembilan  kali gempa melebihi 5 Skala Richter setakat 11 pagi ini," menurut Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Sutopo Purwo Nugroho.

Beliau berkata setakat 10. 45 pagi ini, mengikut data sementara Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, 10  lagi dilaporkan terkorban, manakala  24 cedera.Pasukan penyelamat ketika ini masih melakukan operasi menyelamat dan statistik mereka  yang terkorban dan cedera  dikhuatiri terus meningkat, katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Saat kejadian gempa, katanya   ramai penduduk berada di luar rumah atau di pusat pemindahan sementara dan tidak menimbulkan banyak korban jiwa.

Mereka yang terkorban adalah akibat ditimpa runtuhan tembok bangunan atau rumah.Menurut data BMKG, lebih 600 gempa bumi berlaku di pulau Lombok sejak 5 Ogos.Gempa bermagnitud 7 Skala Richter yang berlaku pada 5 Ogos lepas telah menyebabkan hampir seratus ribu rumah musnah, lebih 400 terkorban, manakala lebih seribu cedera.- Bernama

Lpmbok, gempa bumi

Artikel Lain