suria

Gadis sindrom down dinobat ratu cantik remaja dunia

SEORANG model remaja dari Ireland Utara menjadi penghidap sindrom down pertama memenangi sebuah pertandingan ratu cantik dunia.

Kate Grant, 19, menewaskan 40 peserta lain dari seluruh dunia untuk memenangi pertandingan Ratu Cantik Remaja Dunia yang diadakan di Portadown.

Selepas memenangi pertandingan itu, Kate mahu orang kelainan upaya yang lain untuk mengetahui bahawa 'makna kecantikan sebenar adalah siapa diri anda, bukan bagaimana anda kelihatan.'

"Baik hati, belas kasihan dan kecerdasan, itulah kecantikan yang muktamad.

"Jika itu yang juri lihat dalam diri saya maka saya amat gembira," kata Kate.

Kate akan terlibat dengan pelbagai sesi fotoshot sepanjang tahun ini dan akan dipanggil sebagai juri dan mentor kepada wanita muda pada final pertandingan itu tahun depan.

Dia memberitahu The Mirror:"Impian saya menjadi kenyataan. Dan impian itu adalah memberi inspirasi kepada golongan muda yang menghidap sindrom down dan kelainan upaya yang lain untuk percaya kepada diri sendiri."

Pertandingan itu mempunyai tiga kategori umur untuk kanak-kanak, remaja dan gadis berusia 20 tahun ke atas.

Ia terbuka kepada sesiapa sahaja tanpa mengira berat, ketinggian atau status perkahwinan dan menyokong Yayasan Make-A-Wish, sebuah badan amal untuk membantu merealisasikan impian kanak-kanak yang berada dalam keadaan kritikal.

Beberapa calon datang dari seluruh dunia bersaing dengan Kate yang mewakili Ireland Utara.

Pertandingan itu melibatkan sesi temubual dengan panel juri sebelum Kate memperagakan beberapa kostum untuk acara catwalk.

Kate sudah biasa dengan dunia peragaan sejak berusia 13 tahun lagi sebelum dipilih terlibat dalam beberapa acara Mingguan Fesyen.

Ibu kepada Kate, Deirdre menegaskan perjalanan hidup anak perempuannya tidak mudah.

Dia sentiasa menghantar e-mel gambar Kate kepada agensi tetapi kebanyakan menolaknya kerana anaknya itu penghidap sindrom down.

Deirdre kemudian memuat naik gambar Kate semasa majlis prom dan bertanya kepada pengikutnya sama ada anak perempuannya boleh menjadi seorang model.

Gambar tersebut dikongsi sebanyak 26,000 kali dan mendapat perhatian pengarah pertandingan tersebut, Taylor-Rae Hamilton yang mempelawa Kate untuk mengambil bahagian.

sindrom down, ratu cantik

Artikel Lain