suria

Diperkosa 40 lelaki selama empat hari di rumah tetamu

CHANDIGARH: Seorang wanita berusia 22 tahun dari Chandigarh mendakwa diperkosa seramai 40 lelaki selama empat hari.

Dalam satu aduan kepada polis pada Jumaat, mangsa yang sudah pun berkahwin mendakwa dia dikurung selama empat hari di sebuah rumah tetamu di Haryana, utara India.

Suami mangsa memberitahu, isterinya dijanjikan pekerjaan sebagai tukang cuci di rumah tetamu berkenaan oleh kenalan mereka.

Menurutnya lagi, isterinya diberi dadah, diperkosa ramai lelaki secara bergilir-gilir serta diugut bunuh sekiranya menceritakan insiden tersebut kepada sesiapa.

"Setiap hari, kira-kira 10 lelaki akan menodainya, ia berterusan selama empat hari dari 15 Julai hingga 18 Julai lalu.

"Dia akhirnya berjaya menghubungi saya dan menceritakan apa yang terjadi, saya kemudian bercakap dengan pengurus rumah tetamu tersebut dan mengugut akan menghubungi polis jika isteri saya terus diapa-apakan," kata suami mangsa.

Isterinya dilaporkan pulang ke rumah tidak lama selepas itu dan mereka kemudian bertindak membuat laporan polis.

Sehubungan itu, seorang pemilik rumah tetamu dan pengurusnya kini ditahan.

Sementara itu, pegawai polis kanan, Rajender Kumar Meena berkata, tiga anggota polis bawahan digantung tugas kerana lalai dan gagal memaklumkan kepada pegawai kanan mengenai insiden berkenaan.

Polis Haryana turut menjalankan siasatan terhadap penghuni lain di rumah tetamu itu, bagi memastikan tiada sebarang aktiviti haram berlaku.

Keganasan seks berleluasa di India yang merekodkan 110,333 laporan kes di seluruh negara itu sepanjang tempoh 2014 hingga 2016. - AFP

rogol, India

Artikel Sebelum

Artikel Lain