suria

210 Maut Gempa Bumi Di Iran, Iraq

ANKARA: Sekurang-kurangnya 210 maut di Iran dan Iraq apabila gempa berukuran 7.3 magnitud menggegar kawasan sempadan Iraq pada Ahad.

Bercakap kepada stesen televisyen, seorang jurucakap Pertubuhan Pengurusan Bencana Kebangsaan Iran, Behnam Saeedi, lebih 1,700 orang cedera.

Terdahulu, agensi berita Iran (IRNA) melaporkan pasukan penyelamat sedang mengiatkan usaha untuk mencari puluhan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.

"Masih ada mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan. Kami berharap jumlah kematian dan kecederaan tidak meningkat, tapi ia akan meningkat," kata Timbalan Gabenor Wilayah Kermanshah, Mojtaba Nikkerdar.

Ketua perkhidmatan kecemasan negara itu, Pirhossein Koulivand dipetik sebagai berkata, kebanyakan mangsa berada di bandar Sarpol-e Zahab, kira-kira 15 kilometer dari sempadan.

Mangsa yang cedera dihantar ke hospital di Iraq.

"Gegaran dirasa di beberapa wilayah Iran yang berhampiran sempadan Iraq. Lapan kampung turut terjejas. Bekalan elektik terputus dan pasukan penyelamat dikerahkan ke lokasi kejadian," lapor stesen televisyen Iran.

Orang ramai berkumpul di jalan raya di barat wilayah Kermanshah selepas ancaman gempa bumi dikeluarkan.

Kebanyakan rumah di kawasan pedalaman di wilayah tersebut diperbuat daripada batu-bata berlumpur dan mudah pecah.

Beberapa penduduk tempatan turut merasai gegaran tersebut dengan sekolah di sekitar wilayah Kermanshah dan Ilam ditutup pada Isnin.

gempa bumi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain