suria

Tragedi Di Hari Lahir

SAMBUTAN ulang tahun kelahiran ke-21 bertukar tragedi apabila dua sepupu diserang lelaki bertatu yang menyembur asid ke muka mereka.

Jameel Mukhtar dan Resham Khan cedera parah akibat perbuatan lelaki yang dikenali sebagai John Tomlin.

Penyerang berusia 24 tahun itu kini diburu polis Metropolitan susulan tindakannya menyerang dua pemuda terlibat.

Jameel, 37, terpaksa menjalani pembedahan akibat serangan itu dan dikatakan sukar mengecam penyerangnya.

Dalam kejadian itu, Resham dan Jameel berhenti di lampu isyarat apabila mereka didatangi seorang lelaki yang melempar bahan toksik itu melalui tingkap kereta.

Penyerang itu kemudian lari sekeliling kereta dan melempar lebih banyak asid ke arah Jameel sebelum melarikan diri dari tempat kejadian di Jalan Tollgate, Canning Town di timur London.

Tomlin digambarkan sebagai seorang lelaki dengan ketinggian 183 sentimeter dan bertatu di muka.

Susulan kejadian pada Rabu itu, Jameel alami koma akibat kecederaan parah yang dialaminya, demikian kata ibu mangsa, Naseem.

“Saya tidak mahu bercakap banyak sebelum saya bercakap dengan anak saya.

“Dia mengalami kecederaan teruk di lengan, belakang badan dan dada. Dia sedang memandu ketika itu dan sepupunya juga melecur dengan teruk.

“Terdapat empat serangan lain yang berlaku di kawasan itu dan pada hari yang sama. Anak lelaki saya akan memerlukan rawatan selama bertahun-tahun,” kata Naseem lagi.

Penyiasat kes itu, Superintenden Neil Matthews, berkata, penyerang bertindak ganas dan orang ramai dinasihatkan berhati-hati.

“Tumpuan utama kami adalah untuk mencari lelaki yang bertanggungjawab bertindak kejam itu.

“Kami akan segera mencarinya dan menuntut keadilan bagi mangsa.

“Sesiapa yang mempunyai apa-apa maklumat yang boleh membantu siasatan boleh menghubungi Polis Metropolitan atau Crimestoppers.

“Jika menjumpai suspek, jangan dekatinya, sebaliknya terus menghubungi 999.

Pegawai polis dari Newham dan Kumpulan Sokongan Wilayah Metropolitan telah mengeluarkan waran tangkap untuk suspek, bagaimanapun setakat ini siasatan masih diteruskan dan tiada tangkapan dibuat setakat ini.

Jameel Mukhtar

Artikel Sebelum

Gajah Curi Pisang Diburu

Artikel Berikut

'Sampah' Hasil Karya Seni

Artikel Lain