suria

19 Maut Letupan Gegar Konsert Ariana Grande

LONDON: Polis Britain pada awal pagi Selasa mengesahkan kira-kira 19 maut manakala 50 lagi cedera dalam serangan bom yang dipercayai melibatkan serangan pengebom berani mati di Manchester Arena, lokasi konsert penyanyi pop terkenal Amerika Syarikat, Ariana Grande berlangsung.

Ambulans dilihat dikejarkan ke lokasi kejadian dan polis menasihati orang ramai supaya mengelak melalui kawasan tersebut.

Rakaman video yang dimuat naik menerusi Twitter menunjukkan penonton konsert menjerit dan lari bertempiaran.

Ada di antara mereka berlumuran darah.

Seorang saksi, Evie Brewster yang hadir ke konsert itu memberitahu portal Mail Online bahawa Ariana Grande baharu sahaja habis menyanyikan lagu terakhirnya dan meninggalkan pentas apabila letupan berlaku.

Grande dilaporkan baharu sahaja meninggalkan pentas sebaik letupan berlaku.

"Secara tiba-tiba orang ramai mula menjerit dan keluar untuk menyelamatkan diri," katanya.

Sementara itu, Suzy Mitchell yang tinggal di sebuah flat bertentangan dengan lokasi kejadian berkata dia terdengar bunyi letupan kuat menyebabkan semua penduduk bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri.

Beberapa media melaporkan berlaku dua letupan dari lokasi konsert tersebut.

Orang ramai yang menghadiri konsert itu panik selepas terdengar bunyi letupan kuat tersebut.

Perkhidmatan kereta api keluar masuk dari Stesen Manchester Victoria yang terletak di bawah Manchester Arena itu dibatalkan.

"Perkhidmatan kecemasan sedang menguruskan insiden dekat Manchester Victoria, menyebabkan semua talian ditutup," kata pengendali Kereta Api Utara di laman web syarikat itu.

Manchester Arena, Ariana Grande

Artikel Sebelum

Ariana Grande Okay

Artikel Lain